PETALING JAYA: 17 Sept. Kerajaan berjaya mendapat kuota tambahan sebanyak 2,100 jemaah haji muassasah dengan ihsan kerajaan Arab Saudi dan telah melakukan beberapa penerbangan sejak Rabu lepas. Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, TH dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad berjaya mengusahakan penerbangan kapal terbang jenis Airbus A380 dengan muatan 489 penumpang untuk sebuah pesawat. "Ini adalah kali pertama penerbangan jenis A380 digunakan oleh TH untuk operasi haji.Penerbangan tambahan itu KT 66, 67 dan 68 serta beberapa penerbangan komersil telah selamat terbang sehingga 17 September dengan jumlah 1,612 orang (kuota tambahan)," katanya pada sidang media di Kompleks TH Kelana Jaya, di sini Sabtu. Beliau berkata, penerbangan terakhir jemaah tambahan iaitu KT69 dijadual berlepas pada pukul 12 tengah hari Ahad dengan 489 jemaah. Selain itu katanya, kuota asal jemaah haji Muassasah seramai 22,320 orang telah berjaya dihantar ke tanah suci Rabu lepas dan kesemua jemaah berada dalam keadaan sihat di maktab-maktab di Makkah. - Bernama |
Empat tahun penantian
Sudah emat tahun pergi kursus haji dan empat tahun juga buat rayuan tapi kami suami isteri masih tidak tersenarai dalam kumpulan jemaah haji musim 2015.
Pada lewat malam 11 September (hari Jumaat) kami suami isteri dihubungi melalui panggilan telefon secara berasingan oleh orang Tabung Haji. Menggeletar jugak tangan jawab telefon. Orang yang called tu kata kalau setuju nak pergi haji, sila datang markas Tabung Haji KL esok untuk menguruskan semua sekali yang patut diuruskan sampai siap. Kalau tak dapat selesaikan pada hari itu, tak dapat pergi. Kalau selesai, mungkin terbang empat hari kemudian (Selasa 15 September). Begitulah lebih kurang ultimatum yang diberikan oleh orang TH kepada kami.
Pendaftaran kelam-kabut di Tabung Haji
Keesokan harinya (hari Sabtu) kami berdua bergegas ke markas Tabung Haji KL. Tabung Haji tak dibuka pada hari Sabtu. Tapi hari tu Tabung Haji buka separuh hari hanya untuk uruskan orang macam kami. Mula-mula aku tak paham apa maksud orang macam kami tu. Kami ambil surat tawaran dan beberapa dokumen lain.
Kena buat medical check-up dulu. Kalau dah selesai, baru boleh sambung urusan di kaunter Tabung Haji iaitu buat pembayaran. Kuat jugak power medical check-up ni. Macam jadi penentu hidup dan mati. Kami keluar cari klinik yang paling dekat dengan Tabung Haji. Pusing-pusing punya pusing-pusing kami pergi ke Pusrawi.
Lepas tu bergegas balik ke Tabung Haji dan sambung urusan di kaunter - submit semua borang, submit medical report (buku perubatan), submit borang itu ini, buat payment. Selesai submit semua.
Tak selesai lagi rupa-rupanya. Kami seterusnya dibenarkan balik untuk 'tunggu panggilan' seterusnya. Maknanya keputusan boleh pergi atau tidak belum lagi diketahui. Kami tanya pasal beg besar yang sepatutnya diberi pada jemaah haji. Petugas Tabung Haji tu kata dah habis stok sebab kami ialah jemaah kuota tambahan. Dia suruh kami pergi minta di Maju Junction. Kami pun pergi ke pejabat Tabung Haji di Maju Junction tapi pun dah habis stok jugak. Jadi kami kenalah cari beg sendiri.
Esoknya hari Ahad kami mula kelam-kabut mencari dan menyediakan semua peralatan yang perlu untuk pergi haji seperti membeli kain ihram, pakaian tambahan, beg besar, beli itu dan beli ini dan macam-macam lagilah. Memang tak ada persediaan langsung pun sebab kami memang dah tak termasuk dalam senarai jemaah haji musim ini.
Jemputan ke Tabung Haji Kelana Jaya
Hari Isnin aku pergi kerja macam biasa. Lewat malam tu kami menerima 'panggilan seterusnya' yang ditunggu-tunggu yang menyuruh kami untuk datang terus ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada keesokan harinya (Selasa) 'untuk urusan penerbangan'. Kami diminta datang selewat-lewatnya pukul 1 petang. Dalam erti kata lain, kami menerima confirmation yang kami berjaya pergi haji hanya setengah hari sebelum waktu penerbangan.
Tak sempat mohon cuti kerja
Esoknya (Selasa) iaitu hari penerbangan kami, aku kelam-kabut ke pejabat terlebih dahulu untuk menguruskan saki-baki kerja dan nak meninggalkan tugasan-tugasan apa yang patut, dan nak mohon cuti. Tapi tanpa diduga pejabat satu KL tutup pulak pada hari tu sebab gejala jerebu yang melanda Lembah Kelang. Jadi aku tak sempat pun nak isi borang cuti. Aku minta pakcik guard buka pintu pejabat jabatan aku dan aku kemas-kemas semua file dan dokumen serta membuat nota itu ini supaya staff aku tahu apa yang mereka perlu buat nanti. Lepas tu aku memecut balik ke rumah.
Drama di Kelana Jaya
Di rumah aku mandi sunat ihram, buat solat sunat ihram dan pakai pakaian ihram. Lepas tu kami bergegas ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Jalan jem dan hati resah gelisah di sepanjang jalan raya. Akhirnya sampai juga ke kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Aku tengok suasana sudah jadi macam pesta kenduri. Lebih ramai sanak saudara yang menghantar dari jemaah haji itu sendiri. Kami boleh kenal jemaah haji sebab semua jemaah haji diminta memakai ihram dari rumah lagi. Orang ramai dengan bagasi masing-masing berkumpul di sebuah tempat macam dewan. Ada macam pentas kecil di beberapa tempat dan orang ramai duduk-duduk di situ.
Panas tak terkira. Tiada pandu arah atau panduan. Masing-masing macam terpinga-pinga tak tahu nak buat apa. Kami tanya sana-sini tapi pekerja-pekerja di situ macam segan nak bagi maklumat atau segan nak bagitau yang mereka pun tak tahu maklumat, atau kedua-duanya sekali. Kami pun tak tahu mana nak pergi. Jadi kami hanya pasang telinga untuk mendengar kalau ada panggilan apa-apa.
Ada orang yang kena tegur sebab belum pakai ihram, ada yang kena tegur sebab capal yang dipakai tidak menepati kasut yang sesuai dipakai dalam ihram. Orang yang menegur tu kami rasa ialah petugas Tabung Haji. Tetapi ada jugak jemaah haji sendiri yang menegur itu ini. Aku pakai ihram dengan kopiah haji di kepala. Sebab belum niat ihram lagi so masih boleh tutup kepala. Tiba-tiba ada seorang pakcik yang pakai ihram tegur aku depan orang ramai dengan gaya perli sambil sengeh-sengeh mengejek "pakai ihram tak boleh tutup kepala, kan?"
Aku diam saja. Buat-buat muka bodo. Malas nak layan. Ada juga orang lain aku tengok yang pakai kain ihram dengan t-shirt atau baju kemeja. Memang kena jaga 13 larangan ihram tapi hanya bermula selepas kita berniat ihram di miqat nanti.
Susahnya nak tukar duit riyal
Dalam kelam-kabut kami suami isteri prepare nak bawak itu-ini, kami langsung tak sempat nak tukar duit riyal. Katanya ada di kompleks TH Kelana Jaya tu. Jenuh aku cari sana-sini akhirnya jumpa. Tapi di kaunter pejabat tu ada noti tulis 'TUTUP' dan ada seorang yang macam pekerja di situ kata "duit dah habis". OK. Tak aperlah. Nampaknya aku kena tukar duit riyal di Makkah sahajalah.
Masa aku tercongok berdiri depan kaunter yang tutup tu dengan muka orang putus harapan, seorang pakcik tegur-tegur aku. Sembang punya sembang dia kata tak apa, nanti di pejabat TH di Mekah boleh tukar. Banyak lagi benda yang dia sembang-sembang tentang haji. Dia tak pergi haji tahun ni tapi dia hantar orang aje. Baik dan sopan pakcik ni.
Check-in bagasi
Setelah penat dan berpeluh dalam keadaan resah gelisah akhirnya terdengar pengumuman yang jemaah haji diminta membawa beg-beg masuk ke ruang check-in. Keadaan makin kelam-kabut sebab pengumuman yang diberi antara dengar dengan tidak. Kami kena berhempas-pulas membawa beg-beg di celah-celah orang ramai yang lebih ramai menghantar jemaah dan menjadi peneman kepada orang yang menghantar jemaah tetapi tidak mahu bagi ruang untuk jemaah haji lalu menuju ke depan. Ada pegawai polis yang membantu menguruskan laluan di situ tapi mereka tunggu di depan je. Keadaan menjadi macam suasana menyelamatkan orang yang menjadi mangsa banjir.
Selepas selamat menghantar beg-beg besar, kami diminta keluar dari kawasan tu dan menunggu lagi. Rupa-rupanya bagasi kami yang besar-besar gedabak tu disusun sahaja di situ. Tak dibuat apa-apa pun. Tapi OK lah tu. Lebih di situ daripada kami seret ke sana ke sini.
Ambil beg sandang
Selepas sesi menunggu yang kedua, ada pengumuman baru suruh kami pergi ke satu pejabat yang ada beberapa kaunter di tingkap untuk mengambil barangan lain. Kami jemaah haji sekali lagi beratur panjang. Di tingkap-tingkap kaunter pejabat yang macam kotak kontainer tu kami diberi beg sandang warna merah tajaan Bank Islam (sebab ada besar nama Bank Islam di depan beg tu), tag nama yang perlu pakai di leher sepanjang masa, dan rantai tangan (rantai keselamatan jemaah haji) yang kena pakai sepanjang masa di Arab Saudi.
Aku tengok di rantai tu ada no telefon bimbit, macam nombor handphone sebab pangkal dia 012. Mungkin no telefon petugas di Tabung Haji Pusat di Tanah Arab nanti. Tag nama tu ada muka kami, dan ada bar code. Kami diberi sticker untuk dilekatkan di belakang tag nama kami tu. Pada sticker tu ada butiran kami seperti nama, no pasport, no penerbangan (KT65), nama maktab (Maktab 94), no bilik di maktab tu dan no bas. Nombor-nombor ni semua asing sangat bagi aku. Tapi terima sajalah. Nanti-nanti tahulah jugak apa benda semua tu.
Ambil beg Maybank
Lepas tu kami semua diminta untuk beratur lagi untuk pergi ke satu lagi tingkap pejabat dan diberi beg kecil beroda warna kuning. Ada logo Maybank. Barang-barang semua ada dalam beg besar yang dah dikumpulan masa check-in tadi. Aku aku seret saja beg sumbangan Maybank tu. Beg sandang Bank Islam, beg kecil beroda Maybank. Terima saja, jangan sombong.
Tak jadi terbang
Selepas habis satu lagi sesi menunggu, kami dengar pengumuman lagi. Nama-nama dibacakan dan mereka yang berkenaan diminta masuk ke satu dewan untuk taklimat. Nama isteri aku disebut dan dia pun masuk dulu. Aku tunggu nama aku dipanggil tapi tak ada pulak sampailah habis nama dipanggil. Ah sudah, aku dah mula panik.
Tak lama lepas tu dibacakan kali kedua nama-nama orang dan alhamdulillah nama aku ada. Itu pun di hujung sekali. Hujung pun hujunglah, asalkan ada nama. Aku pun dengan lajunya bergerak di dewan yang dimaksudkan.
Selepas itu ada pengumuman lagi iaitu nama-nama yang tidak dipanggil dikehendaki naik ke satu tingkat lain. Suasana jadi kelam-kabut balik. Aku hampir tersesat pergi ke tempat yang nama orang tidak disebutkan tu. Aku rasa gelisah. Kena ada dua kumpulan? Mesti kumpulan-kumpulan ni diasingkan mengikut nasib, iaitu yang nasib baik dan yang nasib tak baik.
Aku masuk di bilik yang sepatutnya aku masuk dan aku tengok semua tempat duduk dah penuh dan taklimat telah separuh jalan. Tapi apa yang aku dengar ialah penerangan seorang pegawai wanita dengan susunan ayat dan nada penuh apologetik yang mengatakan penerbangan kami ditangguhkan. Ya Tuhan. Aku rasa lutut aku menggigil. Hati aku mula dah berbisik-bisik 'tak terbang jugak engkau rupanya.'
Lepas tu ada seorang lelaki VIP pakai suit dan orang di situ panggil dia Tan Sri. Dia pulak sambung beri taklimat. Antara yang dia kata ialah 'visa tak lepas' dan 'tengah proses' malah masa dia sedang bercakap tu pun kunun-kununnya 'sedang diproses' tapi hal visa ni adalah urusan kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji tiada kuasa apa-apa di situ. Aku paham itu semua alasan teknikal sahaja untuk menyembunyikan alasan sebenar kenapa penerbangan ditangguhkan. Namun VIP tu bercakap dengan nada baik dan berhemah macam pegawai wanita tadi dan nampak jelas mereka berhati-hati menyusun kata-kata.
Rupa-rupanya, semua yang nama tidak dipanggil tadi (dan dikumpulkan di tingkat atas) tidak dapat terbang pada hari ini kerana 'tiada tiket'. Oleh kerana kumpulan itu tak dapat terbang, maka kami semua pun tak dapat terbang sama. Ini kerana kapal terbang tidak akan terbang hanya dengan separuh penumpang. Kena dua paruh baru boleh terbang. Aku dah mula pening lalat. Dah ada dua-tiga alasan sekarang ini kenapa kami stranded. Namun apa nak buat, sudah nasib kami jemaah kuota tambahan.
Balik dulu datang esok, atau tidur sini
Kami diberi dua pilihan, sama ada balik dulu ke rumah dan datang balik esok pagi sebelum pukul enam pagi, atau tidur di situ sahaja. Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya memang ada bilik-bilik penginapan sementara macam bilik transit. Kesimpulannya hari ini tak jadi terbang. Esok pagi baru ada flight. Ada seorang pakcik tanya VIP tadi 'esok pasti ke ada tiket penerbangan?' VIP tadi jawab dengan ayat yang tersusun yang mereka harap esok semuanya selesai tapi ia bukanlah di bawah kawalan mereka.
Aku keluar dewan dan bersembang dengan isteri aku. Aku nak balik je. Boleh jugak aku buka pakaian ihram ni dan layan astro at least semalam lagi. Tapi isteri aku tak nak balik. Dia kata kita tidur sini sajalah. Oklah. Takde masalah. Aku bagitau anak aku suruh depa balik aje, kami akan tidur di sini. Aku tengok muka anak aku macam tak berapa faham apa yang berlaku tapi tak aperlah.
Tidur di bilik transit
Kami diberi nama bilik tempat kami boleh bermalam sementara. Tempat wanita lain dan tempat lelaki lain. Aku heret beg kecil aku ke satu bilik aper entah aku dah lupa nama dia sebab masa tu fikiran aku agak kusut. Yang aku ingat, nama bunga. Bilik tu luas macam dewan kecil dan ada katil kanvas yang rendah (lebih kurang satu kaki tinggi) berpuluh-puluh disusun rapat-rapat.
Aku orang pertama yang masuk. Aku pilih satu katil di sudut bilik. Aku letakkan beg dan baring terlentang memandang syiling sambil pikiran aku bercelaru. Macam-macam bermain di pikiran aku masa tu. Lepas tu seorang demi seorang masuk dan akhirnya penuh bilik tu dengan orang yang pakai ihram. Macam-macam cerita, keluhan, luahan hati dan kemarahan yang aku dengar. Masing-masing dengan kisah masing-masing. Ada yang dapat terbang, tapi isteri tak dapat dan isteri dia masih menangis di luar sana. Ada yang datang empat orang, tapi dia seorang saja yang dapat terbang. Ada yang tak dapat terbang (tiada tiket terbang) tapi isteri dia dapat pula. Macam-macam hal. Aku diam dan termenung saja.
Nasib aku pun belum tentu lagi ni sebenarnya. Tapi aku cuba tabahkan hati dan memujuk hati aku untuk pasrah saja dengan apa sahaja ketentuan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Kalau dah memang tersurat aku dapat pergi, akan sampailah aku ke sana nanti walaupun nampak agak kacau dan penuh ketidaktentuan. Aku telefon isteri aku dan kami makan makam di satu cafe. Eksklusif jugak cafe tu. Rata-rata orang yang makan di situ masih sembang perkara yang sama, iaitu kapal terbang yang tak dapat terbang.
Malam tu aku termenung lagi sambil berbaring pandang syiling. Itulah malam yang paling panjang aku rasa. Aku tak berapa boleh tidur sebenarnya sebab mungkin aku terlalu resah.. atau takut. Aku tengok syiling tu terasa macam syiling tu bergerak-gerak. Kejap naik, kejap turun. Kejap naik, kejap turun. Betul-betul terseksa minda dan jiwa. Aku keluar jalan-jalan dengan pakaian ihram aku sebab itu ajelah pakaian yang ada di badan aku. Akhirnya bila dah benar-benar mengantuk aku balik semula ke bilik transit tadi dan berjaya melelapkan mata.
Ambil sticker baru, tukar KT
Pada 16 September (Rabu) kami semua berkumpul di tempat yang sama yang kami berkumpul semalamnya. Kami diminta pergi sekali lagi ke kaunter tingkap di pejabat konteiner tu dan kami diberi sticker baru untuk ditampal di atas sticker lama pada tag nama yang kami baru dapat semalam. Tidak ada apa beza pada maklumat dalam sticker baru tu kecuali flight kami dari KT65 telah jadi KT66.
Maknanya KT65 dah tak wujud. Hilang lesap macam MH370. Tak kisahlah, asalkan kami dapat terbang sudahlah. Lepas tu kami diminta ambil semula bagasi kami yang tersusun di satu ruang dan kami kena lalu ke bahagian check-in barangan. Ada peralatan skan bagasi di situ sama macam di airport. So rupa-rupanya skan dan check-in bagasi dibuat di Kelana Jaya dan bukan di airport.
Naik bas dengan escort polis ke KLIA
Diringkaskan cerita kami diminta naik bas. Kami suami isteri naik bas no 2. Bila aku duduk saja dalam bas aku rasa sangat gembira dan lega. Bas bergerak pukul 8 pagi dan aku pulak tersenyum seorang diri sebab suka hati. Tapi berhenti semula di kawasan pagar kompleks bangunan. Ada orang tertinggalkah? Hampir dua jam kami menunggu dalam bas yang tak bergerak.
Aku sudah resah semula. Apa ni tak jadi terbang lagi ke? Aku tengok semua bas berhenti. Berderet-deret bas. Bila aku jenguk-jenguk keluar tingkap aku nampak polis trafik dengan motor besarnya parking berhampiran bas tapi abang polis tu rileks saja sembang-sembang.
Tak lama lepas tu aku tengok abang polis trafik tu pakai topi keledar dia dan naik motor dia. Rupa-rupanya dia polis rider. Dua-tiga polis rider bergerak dan semua bas mengikut mereka. Dengan polis rider tu semua bas yang bawa jemaah haji dari komplek Tabung Haji Kelana Jaya bergerak laju meredah semua lampu trafik dan pondok tol tanpa henti. Semua trafik di simpang ditahan supaya bas-bas kami dapat bergerak tanpa henti. Oh macam tu rupanya. Interesting. Bas-bas kami (aku kira ada lima-enam bas terus masuk ke dalam airport dan parking berhampiran kapal terbang.
Taklimat lagi di airport
Kami semua masuk balai menanti dan ada orang beri taklimat lagi. Orang yang beri taklimat tu aku rasa ialah pekerja MAS. Dia menegur seorang lelaki yang memakai sandal yang tak nampak lima jari. Dia juga berpesan supaya jangan tutup kepala kalau nak tidur dalam kapal terbang. Ini kerana kalau tertidur sambil tutup kepala dan melintasi miqat, nanti kena bayar dam seekor kambing. Ini kerana lelaki bila pakai ihram tak boleh tutup kepala. Tak sangka pulak di balai berlepas pun kami menerima kursus haji. Tapi ok apa, sebab baik untuk kami semua.
Masa tu baru terdengar angin-angin rupa-rupanya kami semua ni adalah jemaah haji kuota tambahan. Sepatut tak masuk senarai pergi haji pun. Tapi entah macam mana ada konflik ketenteraan antara Arab Saudi dengan Yaman, kuota haji Yaman disekat dan diberi kepada beberapa negara Asia Tenggara, tarmasuk Malaysia. Terjawab sudah misteri kami dipanggil last minute ni. Padanlah kelam-kabut semuanya.
Terbang juga akhirnya
Kami masuk ke dalam pesawat dan terdengar ada orang jerit-jerit "Free seat.. free seat" maknanya duduklah kat seat mana-mana pun sebab destinasi semua sama. Tapi aku sempat dudut di seat yang ikut nombor seperti dalam tiket. Sebahagian yang lain dah mula kelam-kabut sebab seat mereka orang lain dah duduk. Tapi last-last semua orang dapat duduk sebab seat cukup untuk semua orang.
Flight kami ialah kapal terbang MAS A330-330 terus ke Jeddah. Crew kapal membaca doa perjalanan masa kapal terbang nak take off. Bila kapal terbang dan bergerak, barulah aku terasa dunia ini sangat nyaman dan selesa. Nothing can really go wrong now aku rasa. Aku macam dibuai mimpi yang indah. Macam tak percaya yang aku sedang terbang menuju ke Baitullah.
By noon, kapal terbang dah berada setinggi 22,193m dari bumi dengan kelajuan 824km per jam.
Niat ihram umrah, buat Haji Tamattuk
Crew kapal membuat pengumuman sejam sebelum sampai ke miqat Qarnul Manazil. Tak perlu ada wuduk masa niat ihram. Pengumuman dibuat lagi apabila kami berada setengah jam sebelum sampai di ruang udara Qarnul Manazil. Kami dibenarkan untuk mula memasang niat ihram. Sempat lagi kami suami isteri berdiskusi nak buat haji apa. Akhirnya kami decide untuk buat haji tamattuk (umrah dulu, haji kemudian). Kami lafaz niat ihram umrah pada pukul 7.52 malam waktu KL atau pukul 2.50 petang waktu Arab Saudi. Selepas berniat kami mula menjaga 13 pantang-larang ihram.
Pembetulan. Haji Ifrad. Juga bebas dari larangan ihram selepas Tahallul Awal di Mina.
ReplyDeleteterima kasih, tuan.. :) akan diperbetulkan..
DeleteAlhmdulillah ...
ReplyDeleteAlhmdulillah ...
ReplyDeleteMasyaAllah
ReplyDeleteTabarakallah
Alhamdulillah
Aamiin
Sama tahun kita menjadi tetamuNya.
Terima kasih tn hj..kongsi pengalaman di sini...
Moga menjadi asbab kebaikan di alam abadi.