Sunday, November 1, 2015

Niat ihram

Niat ihram adalah Rukun Haji yang pertama. Mesti buat. Kalau tak, terbatal haji, atau tiada haji. Benda rukun ni tak boleh diganti dengan bayaran dam. Kalau tak buat (atau tertinggal) dikira tak sah terus haji tu.

Umrah pun sama. Niat ihram umrah adalah rukun. Kalau tak buat, tak sah umrah.

Niat haji tak sama untuk haji ifrad, tamattuk atau qiran. Dalam kursus-kursus haji diajar semua ni. Tapi kami suami isteri masa dalam kapal terbang pun masih undecided nak buat haji apa. Sebab dah kelam-kabut sangat prepare everything last minutes, bila dah tenang dalam flight baru terfikir haji apa nak buat. Akhirnya kami decided untuk buat haji tamattuk (buat umrah dulu lepas tu baru buat haji dalam musim haji yang sama).

Kami pilih haji tamattuk kerana pada pemahaman kami, tempoh pakai ihram dan menjaga 13 larangan ihram adalah lebih pendek masanya berbanding dengan buat haji ifrad. Kami rasa kami tidak ada pengalaman buat haji. Jadi kami bimbang sekiranya tempoh ihram yang lebih panjang itu akan terlalu menyukarkan kami. Maksud haji tamattuk tu pun, kalau ikut kata penceramah kursus haji, ialah 'bersenang-senang'. Tu sebab kena bayar dam, agaknya.

Niat ihram untuk umrah

  1. Kami buat haji tamattuk bermakna buat umrah dulu buat haji kemudian. Kami akan terus ke Mekah dan bukan masuk Madinah dulu.

  2. Jadi miqat kami ialah di ruang udara Qarnul Manazil. Crew flight buat announcement sejam sebelum sampai ke ruang udara Qarnul Manazil. Setengah jam sebelum melintasi ruang udara Qarnul Manazil dibuat announcement kali ke dua.

  3. Niatnya adalah: Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala

  4. Lepas selesai niat, mulalah menjaga larangan-larangan ihram yang 13 tu.

  5. Niat ihram mesti masa dah pakai pakaian ihram. Sunat sebelum niat ihram ialah mandi sunat ihram dan solat sunat ihram. Dua-dua tu dah kami buat masa di rumah sebelum bertolak ke Tabung Haji Kelana Jaya.

  6. Tempoh menjaga pantang-larang ihram selesai apabila kami mencapai tahallul lepas bergunting rambut di Marwah iaitu selepas selesai saie. Lepas bergunting dan mencapai tahallul kami dianggap sudah keluar dari ihram dan sudah boleh pakai pakaian biasa.

  7. Rakan-rakan jemaah yang buat haji ifrad dan haji qiran tak buat umrah macam kami. Mereka ikut masuk Masjidil Haram tapi hanya buat tawaf Qudum atau 'tawaf selamat datang'. Lepas tu mereka masih kekal dalam ihram dan memakai ihram sampai 10 Zulhijjah bila melontar jamrah Aqabah. Lama juga tempoh mereka berada dalam ihram tu.

Niat ihram untuk haji

  1. Inilah niat haji yang sebenarnya yang menjadi Rukun Haji.

  2. Kami melafazkan niat haji pada Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) semasa kami nak bertolak ke Arafah.

  3. Sebelum tu kami mandi sunat ihram, pakai pakaian ihram dan turun ke surau untuk buat solat sunat ihram.

  4. Kami mula berniat ihram di lobby apabila bas mula sampai satu persatu untuk membawa kami ke Arafah.

  5. Niatnya adalah: Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala

  6. Selesai niat, kami mula jaga pantang-larang ihram.

  7. Rakan-rakan jemaah yang buat haji ifrad dan haji qiran tak payah berniat lagi dah. Sebab mereka masih dalam ihram sejak dalam kapal terbang lagi.

Tahallul Awal

  1. Masa masyair haji lepas selesai melontar Jamrah Aqabah (al-Kubra) pada 10 Zulhijjah, kami balik semula ke Maktab 94 di Mina dan mula bergunting rambut / bercukur.

  2. Lepas bergunting rambut, kami semua (yang buat haji ifrad, haji tamattuk dan haji qiran) telah mencapai tahallul awal yang membebaskan kami dari 7 larangan ihram kecuali 3 larangan berkaitan dengan hubungan suami isteri dan nikah-kahwin.

  3. Lepas tahallul awal, kami sudah boleh pakai baju biasa. Kain ihram kami simpan dalam beg.

  4. Semua ibadat haji yang berbaki selepas tu seperti melontar tiga jamrah, tawaf rukun dan saie haji kami tunaikan pakai baju biasa sahaja.

Tahallul Thani

  1. Lepas balik dari Mina, kami buat tawaf rukun (tawaf ifadhah) dan selepas tu saie. Tak perlu bergunting rambut lagi dah.

  2. Selesai sahaja saie haji, maka kami mencapai status Tahallul Thani. Ini membebaskan jemaah haji dari semua larangan ihram.

No comments:

Post a Comment