Sunday, November 1, 2015

Miqat Haji dan Umrah

Lebih kurang makna miqat ialah sempadan. Dalam ibadat haji (dan umrah juga) ada dua jenis miqat iaitu:

  • Miqat Zamani (ketentuan sempadan masa) dan
  • Miqat Maqani (ketentuan sempadan tempat).

Dalam ibadat haji dan umrah, miqat datang sepasang bersama niat ihram. Niat ihram (rukun haji) mesti dilakukan di miqat (wajib haji).

Miqat Zamani

Miqat Zamani (sempadan masa) bagi ibadat haji untuk semua jemaah haji adalah bermula dari hari pertama bulan Syawal hingga terbit fajar hari ke-10 bulan Zulhijjah.

Miqat Maqani

Miqat Makani ialah sempadan tempat. Untuk tujuan ibadat haji (Haji Tamattuk), kami berniat ihram dua kali iaitu semasa nak buat umrah dan semasa nak berwukuf di Arafah. Oleh itu ada dua miqat kami dalam ibadat haji.

  • ruang udara Qarnul Manazil
    Ini ialah miqat pertama kami iaitu miqat untuk umrah (bagi yang buat Haji Tamattuk). Bagi rakan-rakan yang buat Haji Ifrad dan Haji Qiran, Qarnul Manazil menjadi miqat ihram haji mereka.

  • Flight kami jemaah haji kuota tambahan adalah (dari KLIA) terus ke Mekah. Kami tak turun di Madinah. Ada pengumuman melalui speaker sejam sebelum kami masuk ruang udara Qarnul Manazil. Setengah jam sebelum sampai ke ruang udara Qarnul Manazil ada pengumuman sekali lagi. Jemaah yang buat haji tamattuk macam kami akan berniat ihram umrah.

  • Qarnul Manazil adalah sebuah pekan yang terletak 94km di sebelah Timur Mekah dan menjadi miqat bagi jemaah haji yang datang dari arah Riyadh, Najd, Taif dan Pakistan. Penerbangan kami dari KLIA adalah dari arah Timur jadi miqat kami adalah di udara di atas pekan Qarnul Manazil.

  • kota Mekah
    Ini ialah miqat haji bagi kami yang buat Haji Tamattuk. Sebelum bergerak ke Arafah untuk berwukuf, kami mandi sunat ihram, pakai ihram dan solat sunat ihram. Semua buat di hotel Burj al-Haram 2 (Maktab 94). Semasa berada di lobby hotel sebelum naik bas, kami lafazkan niat ihram haji.

Miqat semasa buat umrah sunat

Di Mekah setelah selesai buat umrah wajib (umrah haji), kami ada sedikit masa lagi sebelum melakukan acara wukuf di Arafah. Jadi kami ambil peluang untuk buat beberapa kali umrah sunat. Untuk buat umrah sunat pun sama juga. Kena berniat ihram di miqat.

Bagi orang yang sedang berada dalam kota Mekah, ada beberapa tempat miqat pilihan. Antaranya adalah Hudaibiyah, Tanaim, Ja'rana (Ji'ranah). Kami kena keluar dari kota Mekah ke salah satu dari kawasan miqat ini untuk berniat ihram sebelum masuk semula ke Mekah dan menuju Masjidil Haram untuk lakukan tawaf.

Setiap kawasan miqat ada masjid yang digunakan khas untuk jemaah haji buat solat sunat ihram dan berniat ihram. Malah kalau nak mandi sunat ihram pun boleh.

Tabung Haji tak uruskan umrah-umrah sunat ni. Jadi kami sendiri-sendiri pakat dengan kawan-kawan untuk cari teksi pergi ke miqat-miqat ni. Setiap kali buat umrah sunat kami pilih miqat yang berbeza. Saja nak cari pengalaman.

Kami mandi sunat ihram di hotel dan pakai ihram siap-siap. Lepas tu cari teksi untuk keluar ke kawasan miqat. Kami solat sunat ihram di masjid yang ada di miqat berkenaan. Lepas tu pasang niat ihram dan cari teksi untuk masuk semula ke Mekah untuk ke Masjidil Haram. Senang saja cari teksi di kawasan miqat ni. Sebab driver teksi akan jerit-jerit "Haram! Haram! Haram!" Maksudnya, nak ke Masjidil Haram.

Mula-mula tu kami takut jugak sebab kami ingat pakcik Arab tu kata 'haram naik teksi mereka'. Rupa-rupanya, 'Haram' tu ialah panggilan mereka untuk Masjidil Haram.

Kalau orang yang masuk ke Madinah terlebih dahulu, miqat mereka adalah di Bir Ali.

Kalau datang dari Taif, miqatnya adalah di Qarnul manazil.

No comments:

Post a Comment