Sunday, November 1, 2015

Tentang Haji Tamattuk

Ada tiga cara mengerjakan haji iaitu:

  • Haji Ifrad
    melakukan ibadah haji kemudian umrah. Memakai ihram dari miqat dengan niat haji saja, kemudian tetap dalam keadaan ihram.

  • Haji Tamattuk
    mendahulukan umrah dari ibadah haji. Memakai ihram dari miqat dengan niat umrah pada musim haji, setelah tahallul, memakai ihram sekali lagi dengan niat haji pada hari Tarawiah (8 Zulhijah). Haji Tamattuk dikenakan dam.

  • Haji Qiran
    haji dan umrah dilakukan secara serentak. Memakai ihram dengan niat umrah dan haji sekali gus. Dikenakan bayaran dam

Kami buat haji tamattuk

Kami suami-isteri memilih untuk buat haji tamattuk kerana kami difahamkan haji tamattuk ni tempoh ihramnya adalah kurang sedikit berbanding dengan haji ifrad dan haji qiran. Tambahan pula flight kami terus masuk Mekah dan bukan Madinah.

    Niat ihram umrah di Qarnul Manazil

  • Di atas kapal terbang sebelum sampai ke ruang udara Qarnul Manazil (miqat) kami berniat ihram umrah.

  • Haji Tamattuk kami buat umrah dahulu. Kemudian baru buat buat haji. Jadi bila sampai Mekah nanti, kami laksanakan umrah terlebih dahulu.

  • Aku niat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala.

  • Jaga pantang larang ihram

  • Serentak dengan itu kami mula menjaga 13 pantang larang ihram.

  • Tempoh ihram kami dari mula berniat ihram atas kapal terbang hingga bertahallul di Marwah nanti aku agak-agak adalah memakan masa lebih kurang satu setengah hari atau dua hari. Tempoh ni taklah lama sangat.

  • Buat umrah dulu

  • Sampai di Mekah, kami masuk bilik hotel. Lepas tu berkumpul di lobby dan bergerak ke Masjidil Haram untuk buat umrah.

  • Kami buat tawaf umrah tujuh pusingan dengan penuh yakin. Selesai tawaf, kami buat yang sunat iaitu solat sunat di belakang Maqam Ibrahim, dan minum air zam-zam.

  • Lepas selesai semua tu kami bergerak ke Pintu Safa untuk mulakan saie.

  • Saie ialah perjalanan ulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali. Bermula di Safa dan tamat di Marwah.

  • Setelah selesai saie, kami bergunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai. Boleh terus bergunting di Marwah sebaik sahaja selesai saie. Tapi aku tak bergunting lagi. Aku jalan keluar Masjidil Haram cari kedai gunting rambut. Botak terus. SAR10 (10 Saudi Riyal).

  • Aku dengar ustaz berceramah, gugur dosa-dosa kita sama banyak dengan helai-helai rambut yang dicukur. Wallahua'lam.

  • Lepas bergunting atau bercukur rambut, kami mencapai tahallul iaitu bebas dari semua larangan ihram. Serentak dengan itu juga, ibadah umrah kami selesai.

  • Tunggu Hari Tarwiyah

  • Ada beberapa hari lagi sebelum sampai Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah, hari bergerak ke Arafah).

  • Kami sudah tidak perlu pakai ihram lagi selepas mencapai tahallul.

  • Rakan-rakan yang buat haji Ifrad dan haji Qiran masih kekal dalam ihram dan memakai ihram.

  • Kami pakat-pakat dengan kawan-kawan jemaah haji untuk buat umrah sunat sama-sama. Muassasah Tabung Haji tak uruskan umrah-umrah sunat ni. Jadi kami kena buat sendiri.

  • Kami cari teksi untuk keluar kota Mekah ke kawasan miqat. Dah pakai ihram siap-siap dah. Di masjid di miqat, kami buat solat sunat ihram dan kemudian kami niat ihram umrah sunat. Lepas tu cari teksi untuk balik ke Mekah. Masuk Masjidil Haram kami buat tawaf, lepastu saie, dan akhir sekali bergunting dan mencapai tahallul.

  • Kami juga sempat buat tawaf sunat beberapa kali. Ada yang banyak kali. Tawaf sunat tak perlu pergi keluar ke miqat. Tak perlu pakai ihram. Boleh pakai pakaian biasa. Boleh pakai ketayap, lebai, serban, tengkolok, tudung saji atau apa sahaja. Juga tak perlu jaga pantang-larang ihram.

  • Ada rakan-rakan yang dapat masuk Hijr Ismail. Aku tak dapat. Belum ada rezeki.

  • Acara haji bermula

  • Pada 8 Zulhijjah (Hari Tarwiyah), kami mandi sunat ihram, solat sunat ihram dan pakai pakaian ihram di hotel. Lepas tu kami pasang niat ihram haji. Aku niat haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Serentak dengan itu kami mula menjaga 13 pantang-larang ihram sekali lagi.

  • Bas bawa kami ke padang Arafah dan kami penuhi ruang masa yang ada dengan ibadat-ibadat tertentu. Kami tidur di Arafah.

  • Pada keesokan hari 9 Zulhijjah apabila tergelincir matahari (masuk waktu Zohor) maka masuklah waktu wukuf dan ibadat haji kami pun bermula. Inilah detik sebenarnya yang ditunggu-tunggu sepanjang hidup kami. Inilah detik-detik haji yang sebenarnya.

  • Kami penuhi masa berwukuf dengan bertalbiah, berzikir, baca Qur'an, berdoa dan sebagainya. Semuanya menjadi semakin rancak menjelang Maghrib. Kami sentiasa kekalkan dalam keadaan berwuduk sepanjang masa berada di Arafah.

  • Mabit di Muzdalifah

  • Lepas Maghrib, kami tinggalkan Arafah dan bertolak ke Muzdalifah dengan bas. Sampai di Muzdalifah, kami solat jamak Maghrib-Isyaq. Kami kutip batu sekadar mencukupi untuk melontar jamrah nanti (7 + 21 + 21 + 21 + extra).

  • Lepas tu kami duduk tunggu midnight untuk mendapatkan 'mabit' (bermalam). Petugas Tabung Haji kata, waktu mabit bermula pukul 11.40 malam.

  • Bas sampai untuk ambil kami dari Muzdalifah dan bawa kami ke Mina.

  • Kami masuk Mina pada 10 Zulhijjah. Hari Nahar. Hari Idul Adha. Waktu afdhal melontar adalah lepas masuk Zohor. Tapi Tabung Haji susun waktu melontar waktu malam.

  • Melontar Jamrah Aqabah

  • Kami masuk terowong untuk melontar jamrah. Pada 10 Zulhijjah melontar satu jamrah sahaja iaitu jamrah yang paling besar iaitu Jamrah Aqabah (al-Kubra). Ini adalah salah satu wajib haji.

  • Keluar terowong terus sampai ke kompleks jamrah (atau jamarat) tingkat berapa entah aku tak sure. Tapi itu ialah tingkat khas untuk jemaah haji Asia Tenggara.

  • Kami jumpa tiang Jamrah al-Ula (Sughra) dulu, kami jalan terus. Kami jalan lagi jumpa tiang Jamrah Wusta, abaikan, kami jalan lagi ke depan. Akhirnya kami kami jumpa tiang paling besar iaitu Jamrah Aqabah. Aku cari posisi di hujung (bentuk jamrah bujur macam kapal) sebab kurang orang di situ. Bismillah, takbir dan baling sampai kena tiang (sekarang dah jadi macam dinding) jamrah. Tujuh kali lontaran guna tujuh batu.

  • Lepas tu kami ikut arus orang ramai untuk balik ke Mina. Jalan ke depan sedikit dan belok kanan. Kalau belok kiri, terus sampai ke Mekah.

  • Terowong balik ni lebih panjang dari terowong datang. Kebanyakan jemaah mula jalan perlahan. Kecuali beberapa kontinjen Indonesia yang masih dalam kumpulan, bergerak dengan laju dan bertenaga.

  • Bergunting dan mencapai Tahalul Awal

  • Sampai di Mina kami berkumpul di kawasan tandas dan mula bergunting rambut at least 3 helai. Tak ada masa nak cari gunting rambut. Kami gunting sendiri sahaja.

  • Selesai bergunting, dan telah melontar Jamrah Aqabah, kami dah cukup syarat untuk mencapai Tahallul Awal. Maknanya, telah bebas dari 10 larangan ihram kecuali 3 yang berkaitan dengan hubungan suami-isteri dan nikah kahwin. Kami dah boleh tanggalkan ihram. Lepas mandi, kami pakai pakaian biasa.

  • Sepatutnya, masa inilah jemaah haji tamattuk kena keluar cari kambing untuk disembelih sebagai bayaran dam. Tapi kami dah bayar tunai kepada Tabung Haji harga seekor kambing sebagai bayaran dam.

  • Untuk korban pula, kami dah bayar pada 'agen' atau 'orang tengah' yang akan uruskan korban kambing di Mina. Jadi ada dua sembelihan sebenarnya. Satu sebagai bayaran dam, satu lagi sebagai upacara korban. Tempat penyembelihan korban adalah di Mina. Tapi kami tak berkesempatan pergi sendiri.

  • Melontar ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyrik

  • 11 Zulhijjah Hari Tasyrik 1, kami masuk terowong sekali lagi untuk pergi melontar ketiga-tiga jamrah. Kali ni kami semua dah pakai pakaian biasa sebab dah capai Tahallul Awal.

  • Kami melontar ikut susunan, bermula dengan tiang al-Ula (Sughra, tiang paling kecil) tujuh kali lontaran, diikuti dengan tiang Wusta (sederhana besar) tujuh kali lontaran juga dan kemudian akhir sekali, tiang paling besar iaitu Jamrah Aqabah (Jamrah a-Kubra) pun tujuh kali lonratan.

  • Bila dah selesai, aku cari ruang di celah-celah orang ramai, aku berdiri mengadap kiblat dan berdoa. Selesai. Kami masuk terowong untuk balik ke Mina.

  • 12 Zulhijjah Hari Tasyrik 2. Kami ulang perkara yang sama. Masuk terowong sekali lagi dengan pakaian biasa dan melontar ketiga-kiga jamrah (Sughra, Wusta, Al-Kurba) seperti semalam. Selesai 21 balingan dengan 21 butir batu. Kami masuk terowong balik ke Mina.

  • Boleh buat Nafar Awal jika mahu sebab dah mabit dua kali dan melontar ketiga-tiga jamrah dua kali juga. Buat Nafar Awal maksudnya balik terus ke Mekah. Tapi kami semua ikut jadual muassasah Tabung Haji jadi kami selesaikan semua sekali sampai habis dan buat Nafar Thani.

  • 13 Zulhijjah Hari Tasyrik 3. Petugas Tabung Haji kata bas akan bertolak balik pukul 7 pagi. Kalau lambat keluar dari terowong, kena balik ke Mekah jalan kaki.

  • Jadi kami semua masuk terowong untuk ke kompleks jamrah sebelum Subuh. Solat Subuh di kompleks jamrah. Selesai solat Subuh, kami terus baling ketiga-tiga jamrah. 21 balingan terakhir dengan 21 batu.

  • Selesai baling kami terus masuk terowong untuk balik ke Mina. Kami jalan pantas sedikit sebab takut kena tinggal bas.

  • Tapi bas tak muncul pun pada pukul 7. Eksyen je lebih. Dipendekkan cerita, bila bas sampai, kami dibawa keluar dari Mina dan balik semula ke Maktab 94 dan Burj al-Haram 2.

  • Haji belum selesai. Ada beberapa rukun haji lagi yang perlu ditunaikan iaitu tawaf rukun, dan saie.

  • Tawaf Rukun (Tawaf Ifadhah)

  • Dari hotel kami bergerak sendiri-sendiri dalam kumpulan-kumpulan kecil masuk terowong untuk 'short cut' pergi ke Masjidil Haram. Kalau ikut jalan raya, 1km jaraknya. Kalau ikut terowong yang lengang dan mengerikan tu, pendek bannyak jaraknya.

  • Sampai Masjidil Haram kami terus buat tawaf haji atau tawaf rukun atau tawaf ifadhah tujuh pusingan dengan yakin. Kami pakai pakaian biasa tak perlu pakai ihram sebab sudah mencapai Tahallul Awal.

  • Saie haji

  • Selesai tawaf, kami masuk kawasan saie ikut Pintu Safa dan lakukan saie hingga selesai. Ending di Marwah. Tak perlu bergunting lagi.

  • Tahallul Thani

  • Apabila kami sampai ke Marwah pada trip saie yang ketujuh, maka kami mencapai Tahallul Thani (bebas dari semua baki larangan ihram).

  • Serentak dengan itu juga, selesai ibadat haji kami. Alhamdullilah.

  • Berkualiti atau tidak haji kami ini hanya Allah yang Maha Menentukan. Kami buat yang terbaik sedaya upaya kami mengikut kemampuan masing-masing.

Inilah perjalanan haji tamattuk kami yang sudah semestinya berbeza dengan perjalanan haji ifrad dan haji qiran.

Buat umrah dahulu

1

  • Mandi sunat ihram
  • Pakai ihram
  • Solat sunat ihram
  • Niat ihram umrah
  • Niat di miqat

2

  • Mula menjaga 13 pantang larang ihram

3

  • Tawaf mengelilingi Kaabah 7 pusingan dengan yakin

4

  • Saie tujuh kali ulang-alik perjalanan antara Safa dan Marwah

5

  • Bergunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai

6

  • Mencapai Tahallul (bebas dari semua larangan ihram)

7

  • Melaksanakan umrah secara tertib (ikut susunan)

Kemudian buat haji

8

8 Zulhijjah
  • Mandi sunat ihram
  • Pakai ihram
  • Solat sunat ihram
  • Niat ihram haji
  • Niat di miqat (Mekah)
Hari Tarwiyah

9

  • Bergerak ke Arafah

10

9 Zulhijjah
  • Wukuf di Arafah
  • Tempoh: Zohor hingga sebelum Suboh esok hari
Wukuf

11

  • Mabit di Muzdalifah
  • Kutip batu

12

10 Zulhijjah
  • Melontar Jamrah Aqabah (al-Kubra)
  • Bergunting
  • Mencapai Tahallul Awal
Hari Nahar
Hari Raya Haji

13

11 Zulhijjah
  • Mabit di Mina 1
  • Melontar ketiga-tiga jamrah
Hari Tasyrik 1

14

12 Zulhijjah
  • Mabit di Mina 2
  • Melontar ketiga-tiga jamrah
Hari Tasyrik 2

15

13 Zulhijjah
  • Mabit di Mina 3
  • Melontar ketiga-tiga jamrah
Hari Tasyrik 3

16

  • Tawaf Rukun / Tawaf Haji / Tawaf Ifadhah

17

  • Saie
  • Mencapai Tahallul Akhir
  • Tertib pada kebanyakan rukun

No comments:

Post a Comment