Rabu, 16 September 2015: Tempat tinggal kami di Mekah ialah di Hotel Burj al-Haram 2. Petugas Tabung Haji kata inilah Mktab 94 (kalau di Madinah disebut Zon, bukan Maktab).
Kami sampai di Maktab 94 pukul 11.23 malam selepas mengharungi 75km perjalanan menaiki bas dari lapangan terbang Jeddah. Sebelum kami turun dari bas, seorang petugas haji naik ke dalam bas dan memberi taklimat. Kami dibenarkan naik ke bilik masing-masing (mengikut no bilik yang ada pada tag nama kami) dan perlu berkumpul semula pukul enam pagi keesokan harinya untuk buat umrah. Selepas itu seorang ustaz naik ke dalam bas dan membacakan doa. Selepas itu kami turun dari bas dan masuk ke hotel.
Semasa aku turun dari bas aku nampak beberapa orang budak hitam tengah duduk berehat. Aku pasti mereka inilah yang mengangkut bagasi-bagasi kami dan memindahkannya ke bilik-bilik kami di tingkat atas. Di pintu lobby hotel ada seorang syeikh Arab sambut kami dengan satu raga besar berisi kurma. Dia suruh kami ambil seorang satu. Aku ambil kurma tu dan makan. Sedap. Manis dan lembut. Lepas tu seorang lagi orang Arab bagi kami kotak-kotak kecil yang cantik. Aku rasa tu macam 'door-gift' ler tu. Di lobi ada bunting selamat datang dari Muasassah Haji Asia Tenggara.
Aku naik ke bilik aku di tingkat enam. Semua bagasi kami dah siap sedia menanti kami di depan bilik-bilik kami. Bilik tu macam apartment. Ada dua bilik dan satu tandas. Setiap bilik ada empat katil disusun rapat-rapat. Tiada perabot lain. Ada almari baju tapi katil disusun rapat depan pintu almari jadi almari tak boleh dibuka. Ada peti TV kecil atas almari yang tak boleh digunakan. Jadi dalam apartment dua bilik kami tu, seramai 8 orang perlu berkongsi satu tandas.
Apartment tu ada bilik kecil macam tempat memasak. Ada dapur gas namun tak boleh pakai. Ada oven, dan ada peti ais. Bilik memasak tu ada kabinet dapur dan bila kami buka kabinet-kabinet tu kami nampak banyak pinggan mangkuk. Aku rasa apartment tu milik individu dan dia sewakan kepada hotel macam konsep 'home-stay'. Jadi di bilik itulah kami akan tinggal selama lebih kurang sebulan di bumi Mekah.
Aku buka 'door-gift' yang diberi tadi aku lihat di dalamnya ada dua kotak kecil kurma, gelang plastik perubatan, kad perubatan, dan ubat-ubat. Kami juga diberi pek gula, teh, sudu dan gelas. Di bilik itulah aku mula berkenalan dengan tiga orang rakan baru sebilikku, dan empat orang lagi rakan baru di bilik sebelah dalam apartment yang sama.
Bilik kami selama sebulan di Mekah. Empat katil yang disusun rapat. Oleh kerana tiada almari, maka bawah katil itulah kami jadikan stor semua barangan kami.
Maktab 94 di Hotel Burj al-Haram 2
Maktab 94 di bangunan hotel Burj Al Haram 2 ni terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidil Haram. Hotel 22 tingkat ini dikhaskan oleh jemaah haji Malaysia sahaja dari KT66, KT67, dan KT68 (semua kuota tambahan). Kesemua lebih kurang 800 orang. Sebenarnya ada tiga kumpulan dalam semua KT di Maktab 94 ini iaitu kumpulan muasasah Tabung Haji, kumpulan pakej Andalusia, dan kumpulan pakej Singapura.
Kod warna Maktab 94 ialah cokelat dan simbol Maktab 94 ialah alat-alat elektrik. Maktab ini dikendalikan oleh sekumpulan Petugas Tabung Haji. Selain dari pasukan Tabung Haji, Maktab 94 turut mempunyai pasukan perubatan, pasukan Telekom Malaysia, dan pasukan Pos Malaysia. Selain dari itu ada juga pejabat bergerak Tabung Haji yang memberi perkhidmatan pengeluaran wang mengikut jadual hari tertentu. Pengeluaran wang sahaja, dan bukan penyimpanan wang atau pengurupan wang (beli duit Riyal). Tak perlu buku akaun bank untuk mengeluarkan wang Tabung Haji anda. Cukup dengan hanya menggunakan tag nama (yang ada barkod).
Kami mendapat tahu bahawa hotel Burl Al-Haram 2 belum pernah dijadikan maktab sebelum ini. Kami ialah kumpulan pertama yang tinggal di situ. Oleh sebab itulah kemudahan asas untuk kami di situ agak berkurangan dan kurang memuaskan.
Pandangan dari terowong. Satu bangunan dua hotel. Sebelah kanan tu hotel lain. Sebelah kiri tu hotel Burj al-Haram 2.
View hotel Burj al-Haram 2 dari jalan raya di bawah. Kalau nak ke hotel tu kena lalu bawah jejastas di kanan foto atas tu, then belok kiri sambil memanjat jalan raya, macam panjat bukit kecil, sampailah ke hotel tu.
Keluar saja dari lobi hotel boleh nampak jam besar. Nampak dekat, tapi kena menyusur jalan raya sejauh lebih kurang 1km.
Pejabat pengurusan maktab terletak di lobi. Pintu paling kiri tu pejabat ustaz, lepas tu pejabat pengurus. Meja layan pelanggan macam dalam foto tu je.
Sebahagian dari Petugas Haji. Yang pegang mic tu ialah Pembimbing Ibadat Haji Ustaz Ramli Shamsudin. Orang yang paling dekat di hati jemaah.
Pengurusan Petugas Haji
Pengurusan Maktab 94 ni terdiri dari sepuluh orang sahaja yang diketuai oleh seorang pengurus (Ashrof bin Shamsuddin) yang dibantu oleh dua orang Penolong Pengurus, tiga orang Petugas, dua orang Pembimbing Agama, dan dua orang Pembantu Petugas Haji.
Mereka tinggal di bilik-bilik berasingan dan tidak makan sekali dengan kami di dewan makan. Mereka makan di mana kami pun tak tahu. Kami hanya nampak mereka di pejabat pengurusan di tingkat bawah hotel. Kami lebih rapat dengan Pembimbing Agama yang bernama Ustaz Ramli Shamsudin. Ini kerana ustaz ni selalu solat jemaah dengan kami dan sering beri tazkirah kepada kami.
Terowong yang belum diwartakan. Tapi sebahagian dari kami guna juga terowong ni untuk ke Masjidil Haram sebab lebih pendek perjalanannya. Cumanya agak bahaya, dan panas. Kalau seorang-seorang memang kami tak berani guna terowong yang belum rasmi ni.
Ni aku snap foto dari tv yang diletakkan di lobi seminggu sebelum hari wukuf. Siaran RTM rasanya. Macam countdown ke hari wukuf.
Dalam terowong. Kalau grouping macam ni kami berani ler guna terowong ni. Belum ada kenderaan keluar masuk ikut terowong ni.
Dewan Makan
Dewan makan ada di tingkat 3. Satu tingkat di atas surau. So selalunya habis saja solat jemaah, kami semua terus naik ke atas untuk makan. Tabung Haji bagi makan lunch dan dinner. Tiada sarapan, tiada minum petang, tiada supper. So kami kena pandai-pandai cari makan sendiri untuk breakfast. Pelik jugak, kan. Sarapan tak disediakan.
Dewan makan di tingkat 3, atas tingkat surau. Tiang tengah-tengah tu sama lebar dengan meja makan plastik tu.
Ration kami selama sebulan di Mekah untuk lunch dan dinner. Nasi, ikan/daging/ayam/sotong, sayur yang sama sahaja. Air botol. Buah limau/pisang/epal diberi masa lunch sahaja.
Kalau tak silap seminggu lebih kurang selepas kami sampai, kaunter jual air (tengok foto atas) dibuka di dewan makan. So dapatlah kami makan sarapan pagi. Tapi kena beli sendirilah, bayar guna riyal. Kaunter ni jual air panas (teh susu, nescafe), air minuman botol, snacks. Mula-mula depa jual biskut-biskut je macam dalam foto atas tu. Tak lama lepas tu depa mula jual nasi lemak, soto, dan kueh-mueh. Pada minggu-minggu akhir kami di sana, depa mula jual kacang-kacang dan kurma. Lepas tu mereka tambah jual baju dan tudung dan jubah yang dilonggok atas lantai je. Dua orang budak dalam foto di atas tu ialah budak Myanmar. Tak reti cakap Melayu. Speaking pun tak pandai. Lama-lama mereka tahu sebut 'satu, dua, tiga.' Belajar dari kami ler.
Atas: Servis iTalk dari Telekom Malaysia. Bawah: Servis pos laju dari Pos Malaysia untuk bagasi juga terletak di lobi hotel. Servis ni untuk pos bagasi sahaja (kena beli kotak-kotak tu) dan bukan pos surat. Servis ni memang sangat berguna. Nak bawak balik bagasi naik flight memang ada had berat. So guna servis pos sahajalah.
Kemudahan telefon TM Malaysia
Ada kaunter telekom di lobi yang menyediakan servis 'i-Talk'. Beli kad 50 Riyal. Lepas tu gunakan telefon yang disediakan di kaunter di situ. Dial 180060, pastu tunggu arahan, pastu masukkan no kad tadi, lepas tu masukkan no telefon di Malaysia yang nak dihubungi tu. Kadar caj ialah 1 Riyal seminit. Memang murah. Sangat murah berbanding telefon direct guna roaming (mahal, rate Yahudi).
TM Malaysia juga ada joint venture dengan syarikat telefon Arab Zain untuk keluarkan servis data plan. Beli starter pack 150 Riyal untuk airtime dan 25 Riyal untuk data (internet) 2 Gig. Dah habis boleh top-up (di sini disebut recharge). Pakej ni very handy. Walau pun kita akan dapat satu nombor telefon baru Arab Saudi, namun akaun Whatsapp kita masih berfungsi seperti biasa (sebab Whatsapp menggunakan nombor asal telefon).
Mengirim bagasi melalui pos laju
Pos Malaysia beroperasi setiap hari di satu ruang di lobi hotel. Perkhidmatan yang ada hanyalah pengurusan mengepos bagasi sahaja dan bukan pos surat. Pos Malaysia menyediakan tiga saiz kotak bagasi untuk dipos yang bernilai 8, 10 dan 12 Riyal. Lepas tu timbang berat bagasi dan ada charge mengikut berat. Bagus servis ni sebab kita dapat pos sahaja barangan lebihan atau barang-barang yang tak muat dalam beg besar yang sedia ada. Aku mengirim bagasi tiga kali menggunakan ketiga-tiga jenis kotak. Kos pengiriman tak termasuk harga kotak untuk semua pengiriman kami ialah 185, 165 dan 147 Riyal. Pos Malaysia kata pengiriman sampai dalam masa 14 hari. Tapi bagasi ketiga yang aku hantar guna pos laju ni sampai ke rumah aku dalam masa 21 hari.
Kanan sekali tu ialah kedai runcit yang aku suka singgah bila balik dari Masjidil Haram. Papan tanda 'Laundry' tu ialah kedai dobi kami. Lima minit jalan kaki dari hotel.
Masa nak ke Masjidil Haram akan lalu depan kedai macam ni (kalau kami tak ikut terowong).
Ni deretan kedai yang kami lalu masa kami balik dari Masjidil Haram.
Kiosk jual air dan snaks yang popular di kalangan jemaah yang letih balik berjalan kaki dari Masjidil Haram. Maklumlah. Merangkak satu kilometer. Letih, penat, dahaga.
Pemandangan waktu subuh bila orang ramai balik dari Masjidil Haram.
Kemudahan klinik perubatan
Klinik dibuka setiap hari pada waktu tertentu. Ada seorang doktor dan dua pembantu hospital. Klinik ni mula-mula lengang. Tapi lepas kami balik dari Mina, memang hari-hari orang beratur panjang. Masalah kesihatan paling lumrah yang jemaah hadapi ialah batuk dan sakit tekak. Ada juga yang sakit mata. Ada satu kes sampai terpaksa hantar ke pusat kesihatan Tabung Haji di kota Makkah iaitu pusat perubatan Syisya. Kalau tak silap kes paru-paru berkuman. Batuk memang sukar reda. Ada yang pergi berulang ke klinik sampai empat kali. Semua ubat dan servis perubatan adalah percuma.
Open Wi-Fi
Ada notis ditampal di lobi beritahu tentang adanya servis wifi percuma (password diberikan) untuk coverage kawasan di sekitar lobi hotel. Namun speed internet sangat lemah hingga nak hantar mesej Whatsapp pun tak lepas.
Dobi
Dalam buku panduan yang disediakan oleh Tabung Haji, ada disebutkan pasal servis dobi ni. Tapi mungkin sebab kami ialah 'kuota tambahan' dan Maktab 94 ni baru diwujudkan tanpa persediaan awal, makanya servis dobi pun tiadalah. Kalau nak dobi juga kena jalan kaki keluar hotel ke bawah sikit jalan dalam lima minit untuk hantar sendiri ke kedai laundry.
Aku guna dobi tu tiga kali untuk cuci kain ihram. 10 Riyal (SAR10) sehelai. Oklah tu. Kain ihram yang macam selimut tu nak cuci sendiri sampai bersih memang susah sikit. Boleh juga cuci sendiri, tapi rasa macam kurang bersih. Susah cari tempat sidai pun satu hal lagi. Cara mudah atasi masalah, handar dobi.
Surau di tingkat 2
Mula-mula aku fikir apa perlunya surau sebab bukankah kita berebut nak solat di Masjidil Haram. Tak lama lepas tu baru aku paham. Masjidil Haram terletak jauh hampir satu km dan memang susah untuk berulang setiap waktu sembahyang. Jadi kami banyak solat jemaah di surau itu sahaja. Siri-siri ceramah agama juga dibuat di surau berkenaan. Jemaah bergilir-gilir jadi imam. Tapi aku pasti di kalangan kami memang ada imam masjid pun. Ada imam. Ada tok siak. Ada muazzin.
No comments:
Post a Comment