Sunday, November 1, 2015

Medical check-up express

  1. Di bawah syarat wajib haji seperti mana yang digariskan dalam buku panduan ibadah haji Lembaga Tabung Haji, "Seseorang yang hendak menunaikan ibadat haji mestilah sihat tubuh badan dan berakal."

  2. Oleh kerana itulah semua Bakal Haji perlu lalui rawatan perubatan terlebih dahulu sebelum diterima untuk terbang ke Tanah Suci.

  3. Buku rekod rawatan jemaah haji ni dikeluarkan oleh Tabung Haji. Kami suami-isteri dapat buku putih ni semasa kami menghantar borang, melunaskan bayaran muassasah, dan menyerahkan buku pasport antarabangsa di kaunter Tabung Haji.

  4. Buku putih yang diberi oleh Tabung Haji tu kosong sahaja. Kami kena pergi ke mana-mana pusat perubatan atau klinik yang boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan (medical check-up) khusus untuk jemaah haji Malaysia.

  5. Lepas selesai medicalcheck-up, barulah datang balik ke Tabung Haji untuk sambung semula proses pergi haji. Kena buat medical check-up hari itu juga. Kalau tidak, tak pergi hajilah jawabnya.

  6. So kami bergegas pergi ke Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak yang kami rasa paling dekat dengan Tabung Haji.

  7. Tujuan pemeriksaan kesihatan adalah untuk mengesan dan merawat penyakit yang dihidapi oleh Bakal Haji serta memastikan agar penyakit itu terkawal. Tujuan yang lain adalah untuk merekodkan penyakit serta rawatan yang berkaitan bagi memudahkan Bakal Haji sewaktu mendapatkan rawatan ketika berada di Tanah Suci kelak.

  8. Macam-macam maklumat ada dalam buku tu. Antaranya adalah maklumat peribadi jemaah haji dan butiran laporan pemeriksaan kesihatannya. Juga terdapat maklumat pasangan suami atau isteri yang pergi bersama-sama menunaikan haji.

  9. Buku kuning (atau oren) atau buku perubatan untuk pergi umrah kami dulu tu nipis sahaja. Tapi buku rekod rawatan jemaah haji ni setebal 66 muka.

  10. Buku rekod rawatan ni diperakui penggunaannya hanya di Tanah Suci sahaja. Buku ni perlu disimpan dalam beg sandang semua jemaah haji dan perlu dibawa ke mana-mana sahaja. Setiap kali kita pergi ke klinik perubatan Tabung Haji di maktab (hotel penginapan) di Madinah atau Zon di Makkah, kita perlu membawa bersama buku rekod rawatan ini. Rawatan perubatan di Tanah Suci bagi jemaah haji muassasah adalah gratis.

  11. Antara ciri penting buku rekod rawatan ini ialah kod warna. Tengok foto atas. Kod perubatan aku adalah warna hijau. Tapi kod warna isteri aku ialah merah, sebab dia ada diabetes. Kalau doktor tandakan kotak warna hitam tu, rasanya tak dapat pergi hajilah orang tu.

  12. Antara ciri penting dalam buku rekod rawatan ini adalah maklumat suntikan pelalian Meningococcal ACYW 135. Suntikan ni diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi. Suntikan pelalian ni sah digunakan dalam tempoh tiga tahun bermula dari tarikh suntikan dibuat. Perakuan suntikan ini sah digunakan untuk mendapatkan Visa Umrah jika melakukan umrah dalam tempoh tiga tahun tersebut.

  13. Di Tanah Suci, aku pergi mendapatkan rawatan kesihatan di klinik-klinik Tabung Haji di Maktab 94 (di Makkah) dan di Zon 1 (di Madinah) sebanyak lima kali. Semua rawatan dan ubat diberikan percuma. Empat kali lawatan kerana masalah batuk, dan sekali kerana masalah jari tangan dan kaki rasa kebas-kebas.

No comments:

Post a Comment