Setelah jemaah haji melafazkan niat ihram, jemaah haji berpakaian ihram dan mula menjaga diri supaya tidak melakukan mana-mana 13 larangan ihram.
Larangan ihram:
- Menutup kepala (bagi lelaki)
- Memakai pakaian bersarung (bagi lelaki)
- Menutup muka (bagi wanita)
- Pakai sarung tangan
- Pakai bau-bauan
- Pakai minyak di kepala / janggut
- Muqadimah jima' (pendahuluan persetubuhan)
- Bersetubuh
- Berkahwin atau mengahwinkan
- Menanggalkan bulu atau rambut
- Memburu binatang
- Mengerat / memotong kuku
- Menebang /mencabut pokok di Tanah Haram
Jemaah haji yang buat Haji Tamattuk menjaga pantang larang ihram dua kali.
Tempoh larangan ihram pertama
Kali pertama ialah selepas melafazkan niat ihram umrah. Tempoh larangan ihram bermula semasa kami masih berada dalam kapal terbang di ruang udara Qarnul Manazil (miqat). Tempoh ini tamat setelah kami selesaikan tawaf umrah, dan saie dan bergunting rambut di Marwah atau di mana-mana kedai gunting rambut (bagi yang nak botakkan kepala).
Tempoh larangan ihram semasa buat umrah ini tidaklah terlalu lama. Bermula dari dalam flight, lepas tu landing di Jeddah dan berurusan di airport, kemudian perjalanan naik bas ke Mekah, check-in hotel Burj al-Haram 2 (Maktab 94), turun balik ke lobby, bergerak ke Masjidil Haram dalam satu km berjala kaki, dan buat tawaf, saie dan bergunting. Masa balik dari Masjidil Haram, aku dah pakai t-shirt. Memang dah bawak dari awal dalam beg sandang.
Tempoh larangan ihram kedua
Kali kedua ialah selepas melafazkan niat ihram haji. Tempoh larangan ihram kali kedua ini bermula setelah kami melafazkan niat ihram di Hotel Burj al-Haram2.
Tempoh larangan ihram kali ni lama sedikit. Kami naik bas ke Arafah sejauh 22 km, bermalam di Arafah, sesi wukuf, naik bas ke Muzdalifah sejauh 8 km, kutip batu dan bermabit di Muzdalifah, naik bas lagi 7 km dan bermalam di Mina, esoknya berjalan pergi dan balik melalui terowong sejauh 5-6 km, melontar Jamrah Aqabah.
Sepanjang tempoh ini kami pakai ihram. Ada dua kali beradu. Dua kali mandi. Jenuh jugak nak jaga pantang larang ihram. Tapi insya-Allah dapat diharungi tanpa perlu bayar dam.
Tempoh kali kedua ini selesai dalam dua peringkat.
Peringkat pertama ialah Tahallul Awal iaitu selepas kami selesai melontar Jamrah Aqabah dan bergunting rambut. Kami bebas dari tujuh larangan ihram. Tiga larangan yang belum bebas ialah yang berkaitan dengan hubungan suami isteri dan tentang nikah-kahwin.
Peringkat kedua ialah Tahallul Thani iaitu selepas kami selesai saie haji di Masjidil Haram. Kami bebas sepenuhnya dari semua larangan ihram.
Paling bimbang masa mandi
Sempat mandi dua kali. Sekali di Arafah, sekali lagi di Mina. Sama sahaja bilik tandas dia. Satu bilik jamban biasa tandas cangkung. Di situ buang air kecil, buang air besar, dan mandi. All-in-one. Penyangkut tuala pun tak ada. Cermin mata, berus gigi, main selit-selit mana dan aje di celah-celah dinding.
Dan kena mandi laju-laju sebab ramai orang menunggu. Time inilah yang aku bimbang tertanggal bulu. Seboleh-bolehnya aku tak sangat pandang bawah. Jadi aku tak nampak kalau-kalau ada bulu tertanggal. Teringat dalam satu kursus haji ustaz penceramah tu kata janganlah kita tercari-cari sangat kalau-kalau ada nampak bulu yang tertanggal. Kalau nak cari sangat silap-silap akan terjumpa, dan kenalah bayar dam.
Time tidur pakai ihram. Bila bangun dari tidur, tak payah selak-selak setiap inci kain ihram untuk check kalau-kalau ada bulu badan tertanggal. Ustaz kata tak payah cari. Buat macam biasa. Bangun dan pergi mandi. Aku ikut nasihat ustaz.
Masa naik turun bas bawa bagasi masing-masing memang agak lasak. Tambah pulak aku bawak dua bagasi. Mem besar tak bawak beg. Aku yang bawak bagasi dia. Chances nak langgar larangan ihram memang besar. Jadi kena lebih hati-hati dalam situasi macam tu.
Larangan-larangan lain tidaklah aku bimbang sangat. Sabun mandi kami beli sabun khas di farmasi di Mekah. Sabun yang jenis tak berbau. Khas untuk ihram, kata jurujual tu. Mahal harganya. Tak ingat berapa.
Kena hati-hati untuk tidak rosakkan pokok-pokok kecil yang banyak di lorong-lorong Arafah. Dan juga perlu hati-hati untuk tidak pijak belalang. Sebab pijak belalang sampai mati adalah termasuk dalam larangan berburu binatang. Tu kata ustaz penceramah kurus haji.
Insya-Allah aku rasa aku tak terlanggar mana-mana larangan ihram selama dua kali tempoh berihram di Mekah.
No comments:
Post a Comment