Sunday, November 1, 2015

Tawaf Wada' Tawaf Selamat Tinggal

Sabtu, 17 Oktober 2015: Sudah 31 hari kami di Makkah dan kerja-kerja haji kami pun dah selesai. Sekarang sudah sampai masa kami kena pergi ke Madinah pula. Semua ni adalah dalam aturcara yang telah disusun oleh muasassah Tabung Haji. Kami kena buat tawaf wada' terlebih dahulu sebelum meninggalkan Makkah.

Tawaf wada' ialah tawaf perpisahan iaitu tawaf yang wajib dibuat apabila mahu meninggalkan kota Makkah ke suatu tempat yang jauhnya dua marhalah (91km) atau lebih. Oleh itu sebelum kami semua berpindah ke Madinah (lebih 400km jauhnya) kami kena melakukan tawaf wada' terlebih dahulu. Hukumnya adalah wajib.

Berbeza dengan tawaf Qudum (tawaf selamat datang) yang hukumnya ialah sunat. Tawaf wada' ini samalah seperti tawaf yang lain iaitu cukup tujuh pusingan dan mesti dalam wuduk (suci dari hadas). Boleh berpakaian biasa (menutup aurat) tanpa pakai ihram. Juga tiada larangan ihram kerana tiada niat ihram. Tiada miqat untuk buat tawaf wada'. Boleh terus datang dari hotel.


Kaabah yang gagah, kiblatku. Perlu buat tawaf selamat tinggal (wada') sebelum menuju ke Madinah.

Kejar masa, bas nak gerak pukul 7 pagi

Kami diberitahu oleh ustaz Petugas Tabung Haji iaitu Ustaz Ramly yang kami boleh start buat tawaf wada' seawal-awalnya pukul 4 pagi. Ini kerana kami kena naik bas untuk ke Madinah pada pukul 7 pagi. Jadi kami kena cepat balik dari Masjidil Haram. Boleh mula tawaf, berhenti apabila masuk waktu Subuh, dan sambung semula tawaf selepas itu.

Tapi ramai jemaah yang keluar dari hotel ke Masjidil Haram, buat tawaf wada' dan kemudian balik semula ke hotel untuk solat Subuh di surau. Kami suami isteri pun macam tu. Ini pun dibenarkan oleh ustaz Petugas Haji tu. Ini kerana hotel kami jauh dari Masjidil Haram, lebih kurang satu km. Di kalangan jemaah pun bukan semuanya muda-muda. Ramai yang tua, berjalan slow, sakit kaki dan yang seumpama dengannya.

Larangan-larangan selepas buat Tawaf Wada'

Menurut Ustaz Ramly, selepas selesai tawaf wada', kami TIDAK BOLEH

  1. berehat-rehat, bersantai, atau tidur di bilik hotel
  2. membayar hutang yang boleh ditangguhkan
  3. mencari-cari orang untuk bersedekah
  4. buat solat hajat, solat taubat dan solat lain kecuali solat sunat tawaf
  5. membeli barang-barang yang tiada kaitan dengan perjalanan ke Madinah
  6. berlengah-lengah dalam masjid sehingga menyebabkan jemaah lain bermasalah dan terpaksa menunggu

Kalau langgar larangan seperti di atas kena bayar dam yang senilai dengan seekor kambing. Mahal tu.

Perkara yang boleh buat

Antara yang BOLEH dibuat selepas tawaf wada' ialah

  1. solat sunat tawaf
  2. kucup hajarul aswad
  3. minum air zamzam (atau isi air zamzam dalam botol)
  4. berdoa
  5. makan minum sekadar keperluan (untuk alas perut bagi tujuan perjalanan)
  6. pegang kaabah
  7. solat fardhu bila muazin sudah iqamat (contoh, solat Subuh)
  8. pergi tandas untuk buat apa yang patut
  9. mandi dan tukar baju di hotel (persediaan untuk perjalanan)
  10. mengambil gambar semasa sedang menunggu bas bertolak
  11. bersedekah semasa menunggu bas bertolak, atau bersedekah semasa dalam perjalanan balik dari masjid ke hotel
  12. kes kecemasan seperti mencari orang (saudara-mara dan sebagainya) yang hilang
  13. membeli benda keperluan untuk perjalanan (seperti beli selipar yang hilang, atau air botol untuk minum dalam perjalanan)

Ustaz juga kata ada orang yang boleh dikecualikan dari buat tawaf wada' ini, iaitu

  1. wanita yang datang haid, nifas, mustahadhah
  2. orang yang ada penyakit salasulbaul (kencing tak lawas - air kencing kerap menitik keluar tanpa kawalan)
  3. orang yang luka, bernanah atau berdarah tanpa henti yang boleh mengotorkan masjid
  4. orang yang dipaksa meninggalkan tawaf
  5. orang yang takut dizalimi
  6. orang yang takut ditinggalkan rakan seperjalanan
  7. orang bimbang di atas keselamatan diri dan hartanya
  8. tiada air atau debu atau tanah untuk berwuduk

Kami bangun pukul 2 pagi, mandi-mandi, berkemas dan pergi ke Masjidil Haram pukul 3.20 pagi. Ada dua-tiga pasangan lain yang turut bergerak ke Masjidil Haram masa kami pergi tu. Oleh kerana bukan kami saja yang pergi jalan kaki masa tu, jadi kami berani pergi ikut terowong. Kalau kami saja yang pergi, memang kami tak berani ikut terowong tu time pagi-pagi buta macam tu.


Pukul 3.24 pagi yang hening dan sunyi. Kami lalu ikut terowong yang belum diwartakan ni untuk pergi ke Masjidil Haram untuk buat tawaf wada'. Bismillahi tawakaltu Allaulah..

Sampai saja di masjid kami terus buat tawaf wada' tujuh pusingan. Tak ramai orang sangat masa tu. Jadi kami cepat habiskan tujuh pusingan walaupun kami buat perlahan-lahan. Lepas tu kami solat sunat tawaf di kawasan belakang Maqam Ibrahim, berdoa puas-puas, minum air zam-zam dan terus bergerak keluar dari kaabah. Memang rasa sayu masa tu. Sedih pun ada. Susah nak cerita.

Masa berjalan keluar aku toleh ke belakang untuk memandang kaabah beberapa kali sebagai pandangan-pandangan akhir sehinggalah tak dapat tengok lagi sebab dah melepasi dinding masjid. Lepas tu kami jalan kaki balik ke hotel kami perlahan-lahan. Aku masih teringatkan kaabah di sepanjang jalan. Aku tekadkan semangat yang aku akan datang lagi suatu hari nanti untuk melihat kaabah semula.

On the way balik ke hotel kami singgah di kedai snacks untuk beli bekalan untuk dimakan dalam bas nanti (maknanya, untuk kegunaan dalam perjalanan). Perjalanan ke Madinah dijangkakan dalam masa enam jam. Mesti lapar di tengah jalan.

Bila sampai hotel kami lihat Ustaz Ramly ada di lobi hotel. Bila kumpulan kami nak masuk lif ustaz menyapa dan berlaki-kali beri nasihat kat kami, macam-macam nasihat tentang larangan-larangan selepas tawaf wada'. Dia bersungguh-sungguh mengingatkan kami supaya kami tidak melakukan perkara-perkara larangan secara tak sengaja.

Ustaz seorang ni memang friendly, dan peramah. Kami memang terhutang budi dengan dia dan kami sayang dia. Dia tak pernah jemu bagi nasihat kat kami berkaitan dengan apa yang kami lakukan berkaitan dengan haji.


Ustaz Ramly Shamsudin beri tazkirah dan taklimat tentang pergerakan kami ke Madinah, semasa kami menunggu bas. Ustaz kata bila kami dah tinggalkan bilik dan turun ke lobi untuk menunggu bas maka dah boleh ambil gambar, tidur di kerusi menunggu atau rehat-rehat. Ini kerana status kami sudah jadi 'sedang menunggu' (menunggu bas sampai) dan bukan 'yang ditunggu'.

Kami naik ke bilik masing-masing, mandi, kemas-kemas dan tinggalkan bilik kami untuk kali terakhir. Itulah bilik kami di Mekah selama lebih kurang sebulan lamanya. Kami turun ke lobi dalam pukul 6.15 pagi. Makin ramai orang memenuhi ruang lobi. Ustaz Ramli pegang microphone dan mula beri tazkirah tentang itu ini.

Lama jugak kami 'berkampung' di lobi tu dengan penuh sesak sebab bas belum sampai. Dalam pukul 8 pagi barulah nampak bas datang satu demi satu dan parking di tepi jalan depan hotel. Kami naik bas no. 2. Dalam pukul 8.15 pagi Ustaz Ramli naik bas dan baca doa. Pun bas tak jalan lagi. Tapi berkampung di lobi, sekarang kami berkampung dalam bas pula.

Dah dekat pukul 9 pagi barulah seorang pakcik Arab naik bas bawa pasport-pasport kami. Rupa-rupanya itulah benda yang menghalang bas dari bergerak. Dia bawak pasport-pasport kami dalam bungkusan plastik aje. Dia minta kawan kami yang duduk paling depan untuk tolong bacakan nama-nama pemegang pasport dan bagi terus pada kami. Dalam 15 minit baru proses tu selesai dan barulah bas bergerak. Akhirnya, kami mula meninggalkan kota Mekah untuk menuju ke Madinah.

Perjalanan ke Madinah mengikut lebuh raya Tariq al_Hijrah adalah sejauh 425km. Kami diberitahu yang perjalanan ke Madinah memakan masa selama tujuh atau lapan jam. Dalam pukul 10 pagi lebih kurang kami berhenti di satu tempat yang aku tak berapa ingat tempat apa. Drebar bas turun ke bawah entah dia pergi mana. Lepas tu ada budak pakai uniform naik bas dan edarkan air botol zam

3 comments:

  1. tempat tu rsenya RNR wadi qutet kalau xsalah..

    ReplyDelete
  2. Mane boleh tidur dan bergambar selagi belum keluar ke tanah halal...muzakarrah fatwa ade bgtau.ia trgolong dlm pantang larang bersenang2...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mmg ianya termasuk dlm pantang larang utk bersenang2 slps tawaf wada' tapi dlm tulisan di atas dh dinyatakn yg mrk adalah dlm masa 'status menunggu'. Iaitu menunggu ketibaan bas yg akan bawa mrk kluar ke tnh halal.

      Delete