Isnin, 19 Oktober 2015: Aturcara yang disediakan untuk kami bagi ziarah luar Madinah ialah melawat ladang kurma, Jabal Uhud, masjid Quba, dan melihat dari dalam bas masjid Tujuh, masjid kecil tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdoa semasa perang Khandak, dan masjid Qiblatain. Kami naik bas no. 6. Mutawif kami yang incharge untuk bas no. 6 ialah Akhil Musyadat. Dia ni masih belajar di Madinah tapi ada pemgiktrafan untuk mengajar agama di Malaysia dan selalu jadi imam sembahyang terawih di Johor. Dia kata, inilah bas yang paling mewah. Oklah tu.
Ladang Kurma
Tempat pertama kami singgah ialah 'ladang kurma'. Tapi bila kami turun dari bas, kami terus di jemput masuk ke satu bangunan macam gudang dan di dalamnya ada orang jual kurma. Di sebelah gudang tu ada nampak pokok-pokok kurma tapi ada tembok tinggi di sekelilingnya. Jadi al-kisahnya kami tidaklah masuk ke ladang kurma. Sebaliknya kami hanya masuk ke 'gudang jual kurma di sebelah ladang kurma'. Tak aperlah. Gudang pun gudanglah.
Kurma, kurma, dan kurma. Suasana dalam gudang jual kurma di tepi ladang kurma.
Masjid Quba
Selepas 'ladang kurma', kami dibawa pula ke Masjid Quba. Masjid ini ialah masjid yang pertama dibina dalam sejarah Islam. Masjid ini dibina semasa Nabi Muhammad s.a.w sampai di kawasan berhampiran Madinah setelah berhijrah dari Makkah pada tahun 622. Masjid Quba disebut sebagai 'masjid yang dibina di atas ketakwaan'. Bersembahyang di masjid ini mendapat fazilat sama seperti mengerjakan umrah. Masjid yang kami pergi melawat ni besar. Di tengah-tengah masjid ada satu kawasan empat segi yang tidak berbumbung. Itulah tapak asal masjid Quba. Kami sembahyang tahiyatul masjid dan dhuha di Masjid Quba.
Ruang tak berbumbung di tengah-tengah masjid Quba. Itulah kawasan tapak asal bangunan Masjid Quba
Masjid Quba dilihat dari dalam van masa kami datang kali kedua
Jabal Uhud
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud Jabal Uhud ialah gunung yang kita akan jumpa di syurga kelak. Jabal Uhud terletak terpisah dari banjaran-banjaran atau deretan gunung yang lain di Arab Saudi. Kerana itulah ia dinamakan 'uhud' yang bermaksud terasing. Jabal Uhud ialah deretan gunung-gunang sepanjang tujuh km dan selebar tiga km. Puncak paling tinggi ialah 450m.
Setelah kami turun dari bas, mutawif kami membawa kami ke satu tempat dan mula bercerita panjang penuh dramatik tentang sejarah Perang Uhud dan pengajaran di dalamnya. Selepas itu dia menunjukkan kepada kami deretan gunung Uhud, sebuah bukit kecil yang dinamakan Rumah yang menempatkan 50 orang pemanah khas dalam Perang Uhud, dan akhir sekali lokasi perkuburan para syuhada Perang Uhud.
Kawasan perkuburan para syuhada Perang Uhud dikepung dengan tembok batu yang ada dinding kaca di atasnya. Melalui cerlah-celah dinding kaca yang pecah, kami mengintai keadaan dalam lawasan perkuburan tersebut. Tidak ada batu nesan pun di situ. Ada satu kawasan yang dikepung untuk tembok kecil.
Pusara para syuhada Perang Uhud. Semuanya rata. Entah di mana mereka. Orang boleh tengok dari luar melalui dinding-dinding kaca yang pecah (atau dipecahkan).
Pandangan dari luar. Tembok tinggi menutup kawasan perkuburan pahlawan-pahlawan Perang Uhud. Macam tembok penjara. Entah kenapa kerajaan Arab Saudi buat macam itu.
Ada tembok kecil yang sudah dirobohkan. Besar kemungkinan suatu masa dulu ada binaan di situ tapi telah dirobohkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Bahagian pangkal Jabal Uhud. Kami nampak tembok yang menghalang orang pergi ke sana
Sebahagian dari deretan Jabal Uhud
Lakarang di satu tembok yang menceritakan (secara graphical) tentang Perang Uhud. Tulisan-tulisan di sebelah kanan tu ialah tentang Saidina Hamzah bin Abd Mutalib
Sebahagian lagi dari deretan Jabal Uhud
Bukit di tengah-tengah foto di atas tu ialah 'Rumah' iaitu 'Bukit Pemanah' yang menempatkan 50 orang pemanah dari tentera Islam.
Masjid Tujuh (Masjid Sab'ah)
Kami ditunjukkan Masjid Tujuh ni hanya dari dalam bas. Kami tak turun melawat pun. Kata muatawif merangkap pemandu pelancong kami tadi tu, tidak ada apa-apa kelebihan bersembahyang di masjid itu. Jadi kami tidak perlu singgah di situ.
Apa yang tujuhnya masjid ni? Adakah kubahnya, menaranya, atau tiangnya. Sebenarnya, yang tujuh itu tiada kena mengena dengan struktur masjid itu. Cerita dia begini. Dulu masa perang Khandak (atau perang Ahzab pada 7H), umat Islam Madinah telah dikepung selama 21 hari. Nabi Muhammad s.a.w telah bertahan di satu kawasan yang dinamakan Sai'a yang terdapat Masjid Tujuh sekarang ini. Nabi Muhammad telah mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk mendirikan pos-pos pertahanan di tujuh lokasi di kawasan tersebut. Setiap pos pertahanan itu diketuai oleh Salman al Farisi, Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Saad bin Muaz, dan Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Mereka mendirikan khemah dan mengimankan sembahyang pasukan masing-masing di pos pertahanan mereka. Pos-pos pertahanan itu terletak hampir antara satu sama lain. Ada yang hanya 15 meter jaraknya dari pos yang lain. Di hadapan mereka ialah parit besar (khandak) yang digali oleh umat hasil dari cadangan Salman Al-Farisi. Akhirnya umat Islam mencapai kemenangan setelah sengsara dikepung oleh tentera Ahzab.
Gabenor Umar Ibn Aziz (yang kemudiannya menjadi khalifah) pada zaman Bani Umayyah telah mendirikan masjid-masjid kecil di setiap pos pertahanan itu sebagai mengenang jasa pemimpin-pemimpin Islam yang mengetuai pos pertahanan masing-masing untuk mempertahankan Madinah. Masjid-masjid kecil itu diberi nama mengikut nama pemimpin pos-pos pertahanan itu iaitu Masjid Salman al-Farisi, Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Masjid Umar, Masjid Uthman, Masjid Ali, dan Masjid Fatah. Pada zaman Sultan Abdul Majid 1 dari Bani Uthmaniah telah dibina masjid kecil yang ketujuh iaitu Masjid Saad bin Muaz.
Masjid Fatah ialah masjid yang terbesar kerana pos pertahanan di situ diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri dan di situlah baginda pernah berdoa selama tiga hari berturut-turut untuk memohon bantuan Allah untuk mengalahkan tentera Ahzab.
Pemerintah Islam yang berikutnya telah menggabungkan semua tujuh masjid-masjid yang kecil dan berhampiran itu dan melahirkan Masjid Tujuh yang ada sekarang ini. Jadi Masjid Tujuh itu sebenarnya berasal dari tujuh khemah atau pos pertahanan yang setiap satunya diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda, yang kemudiannya dibangunkan masjid-masjid kecil untuk memperingati pemimpin-pemimpin pos pertahanan tadi, dan akhirnya digabungkan menjadi satu masjid besar yang dinamakan Masjid Tujuh.
Parit besar khandak tadi tu kini telah dibina jalan raya di atasnya. Ada satu ketika semasa kami berada dalam bas di atas jalan raya, mutawif kami kata "dibawah kita inilah dulu parit khandak" yang dikorek oleh umat Islam untuk mempertahankan kota Madinah.
Masjid Qiblatain
Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu untuk mengubah arah kiblat umat Islam dari Baitulmaqdis ke kota Makkah. Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu tersebut semasa sedang mengimamkan sembahyang. Selepas menerima wahyu tersebut, Nabi Muhammad s.a.w memusingkan badan baginda ke belakang. Jemaah di belakang baginda pun mengikut sama sehingga Nabi Muhammad berada di belakang mereka. Selepas itu Nabi Muhammad s.a.w bergerak perlahan-lahan ke hadapan untuk meneruskan sembahyang. Jemaah yang di tengah-tengah membuka ruang untuk Nabi Muhammad s.a.w bergerak ke hadapan. Oleh kerana itulah masjid itu kemudiannya dinamakan Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat). Kami juga tidak singgah di masjid ini. Kami hanya melihatnya dari dalam bas.
Bas kami sampai balik ke Hotel Al-Haram lebih kurang pukul 11 pagi. Memang telah dirancang supaya kami menghabiskan sesi lawatan luar ini sebelum Zohor kerana kami ingin mengekalkan solat berjemaah di Masjid Nabawi di sepanjang waktu.
No comments:
Post a Comment