Sunday, November 1, 2015

Mabit di Muzdalifah

Rabu, 23 September 2015: Muzdalifah ialah tanah haram yang terletak lebih kurang 8km dari Arafah. Bermabit (bermalam) di Muzdalifah ialah wajib haji. Namun bermalam di sini bukan bermakna tidur semalaman atau mesti tidur. Sebaliknya ia bermakna 'berada pada waktu malam' sahaja. Dengan lebih tepat dari segi hukum, bermabit di Muzdalifah bermaksud berada di Muzdalifah pada sepanjang malam sehingga pagi atau berada seketika pada waktu malam.

Kami bermabit di Muzdalifah pada 10 Zulhijjah. Waktu hukum bermabit ialah 11.40 malam ke atas. Untuk mendapatkan hukum ini kami perlu berada di Muzdalifah walau pun seketika selepas pukul 11.40 malam. Apa yang kami perlu buat di sini - bermabit, beribadat (bebas) dan kutip batu.

Kami dibawa terus ke Muzdalifah dari padang Arafah. Kami diturunkan di satu kawasan lapang yang berpagar. Waktu tu hampir pukul 7 malam. Kawasannya lapang dan luas dan tidak ada sebatang pokok pun. Selain dari pagar, yang lain yang ada di kawasan itu ialah bangunan tandas dan tempat minum air (lima paip yang mengeluarkan air sejuk macam water cooler). Ada tiang besar dengan tanda No. 5 yang besar. Ada tiang lampu yang besar macam lampu di stadium tapi tak cukup untuk menerangi kawasan kami. Jadi yang kami nampak ialah tanah yang gelap. Masa kami sampai kami lihat dari dalam bas telah ada kumpulan-kumpulan jemaah haji yang sedang mengutip-ngutip batu.

Landing yang tak memberangsangkan

Kami diturunkan dari bas dan keadaan mula menjadi kelam kabut. Tiada petugas TH di situ. Hanya ada dua orang petugas pakej lain yang memegang batang warna dan memberi arahan-arahan menggunakan pembesar suara. Mereka diarahkan berkumpul dan bergerak ke satu kawasan. Kumpulan mereka nampak tersusun.

Kumpulan kami muasasah TH mula jadi seperti anak ayam kehilangan ibu. Masing-masing tertanya-tanya nak pergi mana ni? Akhirnya datang seorang petugas dengan gaya hendak tak hendak sahaja suruh kami berkumpul di satu kawasan. Arahan yang diberi pun nampak macam memgelirukan. Dia tidak menggunakan batang berwarna atau speaker.

Kami diminta untuk buat solat jamak tamam (Maghrib 3 rekaat + Isyak 4 rekaat) lepas tu dia macam lepas tangan terus. Kumpulan muassasah TH datang sedikit demi, sedikit kumpulan demi kumpulan. Tidak lama kemudian kawasan tersebut menjadi semakin padat dan makin tak tersusun.

Kumpulan-kumpulan baru datang dan terus memenuhi mana-mana ruang yang kosong tanpa panduan. Kami lihat kumpulan yang dikendalikan oleh pakej Andalusia lebih tersusun dan kemas. Petugas mereka bijak mengatur pergerakan dan menyusun kumpulan mereka. Kumpulan mereka hanya bersebelahan dengan kami jadi kami boleh perhatikannnya dengan jelas keadaan mereka yang tersusun.


Suasana kami di Muzdalifah. Yang belakang tu ialah tandas. Yang kecil sebelah kanan tandas tu ialah tempat minum air sejuk.

Acara kutip batu

Kami terpaksa pandai-pandaikan diri untuk bawa diri untuk mengharungi sesi mabit ni. Kami mulakan acara mencari batu. Kawasan di situ agak gelap. Masing-masing guna torchlight kecil. Masa kurus haji memang disuruh bawa lampu kecil atau torchlight kecil untuk suluh batu. Tapi guna handphone pun boleh. Cumanya sayang bateri cepat konk.

Ramai juga yang aku tengok meraba-raba tanah cari batu tanpa lampu. Ada yang kumpulkan batu-batu kerikil besar. Keadaan mula menjadi macam satu pesta, iaitu pesta kutip batu. Keadaan berterusan dengan orang ramai menguis-nguis tanah mencari baru, membasuh batu, mengira-ngira batu, malah ada yang semacam bertengkar sesama mereka suami isteri tentang saiz batu yang sepatutnya. Ada pulak yang aku dengar makcik ni bising-bising sebab dia dah kena marah (tak tahu siapa marah) sebab batu yang dia kutip tu besar sangat. Kelakar pun ada. Macam-macal hal.

Aku kutip 160 batu. Banyak tu. Untuk isteri aku sekali sebenarnya. Setiap seorang perlukan 70 batu (untuk 7 pusingan melontar) dan seperti yang dinasihati dalam kursus-kursus haji, kutip 10 extra. Manalah tahu kalau-kalau nanti ada batu yang hilang atau tercicir.

Acara melontarJumlah batu
Melontar di Jamrah Aqabah
10 Zulhijjah
7
Melontar ketiga-tiga jamrah
11 Zulhijjah (Hari Tasyrik 1)
7 + 7 + 7 = 21
Melontar ketiga-tiga jamrah
12 Zulhijjah (Hari Tasyrik 2)
7 + 7 + 7 = 21
Melontar ketiga-tiga jamrah
13 Zulhijjah (Hari Tasyrik 3)
7 + 7 + 7 = 21
Jumlah batu70

Saiz batu yang aku cari ialah mengikut saiz yang aku pelajari dalam kursus-kursus haji - iaitu sebesar kacang kuda lebih kurang. Isteri aku dah sediakan sampul-sampul plastik kecil yang ada zip so kerja aku sepanjang malam ialah kutip batu, asing-asingkan tujuh tujuh butir setiap kumpulan, masukkan setiap tujuh butir dalam sampul-sampul plastik tadi.

Dah selesai semua aku check balik setiap batu-batu tadi menggunakan lampu kecil untuk make sure jumlahnya betul tujuh dan ketulan itu ialah betul-betul batu dan bukan tanah keras atau benda lain seperti ketulan simen atau biji kurma.

Lepas tu aku berehat, pandang keliling, tengok langit yang tak berbintang, dan baca apa-apa sahaja doa, wirid atau ayat Quran yang terlintas di kepala aku.

Drama di tempat minum air

Aku pergi ke tempat yang ada air paip sejuk tadi tu sebab aku rasa dahaga dan nak basuh muka nak hilangkan mengantuk. Lima-lima paip penuh orang que. Biasalah tu. Kena beratur, dan sabar. Tapi line aku tu lambat bergerak. Eh, apo hal pulak ni. Memang lambat. Aku jenguk-jenguk tapi aku hanya nampak seorang pakcik tua depan paip tu. Apa pakcik tu buat? Lepas tu aku dengar perempuan belakang komen dengan nada mengata dan marah, "laa... dia basuh batu! Jangan ler basuh batu kat tempat minum pakcik oiii.."

Rupa-rupanya pakcik tu basuh batu di tempat minum air sejuk. Dia masukkan air ke dalam plastik yang ada batu-batu dia tu sampai pelastik tu kembung, lepas tu dia goncang-goncang pelastik tu kira macam cuci batu tu lah. Lepas tu dia buang air tu, lepas tu dia masukkan air lagi. MasyaAllah.. dia buat macam basuh beras. Dia nak bersihkan batu-batu tu dari tanah aku rasa. Dia ulang dua-tiga kali.

Orang belakang dah mula perli-perli. Tapi pakcik tu buat dunno je macam dia tak dengar. Aku diam je. Aku tak kisah pun sebab bukannya aku akan mati kehausan pun. Lagi pun aku rasa pakcik tu tak paham. Dia ikhlas untuk basuh batu tu. Cuma dia buat salah tempat. But then, apa masalahnya? Biarlah dia, walaupun kena tunggu lambat sikit. Masa kursus haji bertalu-talu ustaz penceramah sebut tentang nilai kesabaran. Kita semua bukan boleh lari dari Muzdalifah pun. Bas pun belum sampai. Maafkanlah pakcik tu.


Kami lot no. 5 agaknya.

Menjelang 11.40 malam orang ramai mula settle down. Ramai yang mula baring dan tidur. Tak ramai yang duduk macam aku. Tak hairan pun sebab kami semua masih belum hilang keletihan di Arafah. Keadaan di Muzdalifah pun aku rasakan panas dan angin tak bertiup langsung. Walaupun open air, tapi tetap panas. Isteri aku dan kelompok di sekeliling aku dah tidur. Aku hero jadi aku duduk jaga isteri aku. Lagi pun aku tak berani tidur sebab aku tak tahu whats going to happen next dan aku takut nanti aku keletihan dan mamai.

Orang minta batu

Tiba-tiba dalam keadaan aku mengelamun tu aku dengar suara perempuan panggil perlahan-lahan haji.. haji.. Aku menoleh ke belakang dan aku lihat seorang perempuan. Dia nak lebihan batu yang aku kutip tadi yang memang aku tolak ke tepi lepas cukup 160 butir batu yang aku nak. Aku kata you nak bayar berapa riyal kat saya ni? Dia terus jawab Allahu Akbar kesianlah saya. Aku pun gelak dan kata kat dia ameklah semua aku bergurau je. Aku tanya nak berapa, dia kata 200 lebih berapa entah aku tak ingat. Ni mesti dia tolong kutipkan untuk keluarga dia sekali ni.

Lepas tu aku tengok dia letakkan dua orang perempuan tua dan salah seorang tu guna wheel chair. Lepas tu datang seorang lelaki join depa aku rasa tu bapak dia. Kumpulan ni datang lambat. Very the lambat. Mungkin sangkut dengan bas. Orang lain dah start tidur tapi kumpulan dia baru sampai dan baru nak kutip batu.

Aku tengok budak perempuan tu yang uruskan semua untuk keluarga dia. Dia minta lebihan-lebihan batu yang orang lain dah kutip tadi. Cerdik jugak budak ni. Then dia kira satu-satu macam yang aku buat tadilah. Aku kutipkan untuk isteri aku je, tapi aku tengok dia kutip untuk semua anggota keluarga dia. Aku dapat baca air muka dia yang dia sangat letih dan stress dan ada ketikanya dia macam menahan tangis, tapi dia tunjuk perawakan yang tenang.

What a tough girl. Aku insaf seketika. Tapi aku sendiri pun tak pasti apa yang aku insafkan tu. Ah biarkanlah. Aku dah letih sangat agaknya di samping cuba melawan mengantuk.

Acara naik bas yang lagi dramatik

Lepas tu keadaan yang tenang tiba-tiba jadi kelam-kabut bila ada announcement yang bas nak sampai dan kami kena bersedia mengikut nombor bas masing-masing. Kami kena keluar ikut satu pintu pagar. Keadaan makin jadi kelam-kabut dan separuh huru-hara bila ketiga-tiga pakej (muasasah, Andalusia dan pakej Singapura) memberi announcement serentak. Kami-kami ni jadi keliru. Tak ada koordinasi langsung. Tiba-tiba pakej Andalusia kena bergerak ke pintu sana dan pakej Singapura kena bergerak ke pintu sini. Bersilang-silang pergerakan manusia. Ah memang kalut. Kami semua jadi kalut sebab cara pengurusan petugas TH. Malas nak cerita lebih.


Bas dah sampai. Tanda sesi mabit di Muzdalifah dah selesai. Kami nak bergerak ke Mina pula.

Tiba-tiba terdengar orang bergaduh, memekik-mekik macam berlawan siapa tengking lebih kuat. Bunyi slanga macam mamak. Rupa-rupanya mamak muslim vs mamak muslim dari dua pakej berlainan. Marah bebenor nampaknya. Dah macam nak bertumbuk aku tengok. Lepas tu benda tu reda dan aku pun tak peduli lagi dah cuma aku terpikir begitu kuat ujian kesabaran yang menimpa kami di Muzdalifah pada masa itu. Aku tak pernah imagine langsung yang aku akan tengok kejadian nak bertumbuk tu di bumi Muzdalifah, sesama jemaah haji sendiri. Entahlah.

Proses nak naik bas demi bas memang sungguh menyeksakan lebih kerana pengurusan amatur petugas TH sorry to say. Malas nak pikir why the because petugas tu buat kerja macam tu. Mungkin sebab kami ni kuota tambahan jadi mereka ialah petugas tak terlatih. Sekali lagi, entahlah.

Tapi aku perasan yang driver bas tu paling berkuasa. Kalah Sharif Dol samseng Kg Dusun. Dia macam have the say. Dia bagi arahan sana-sini dengan keras. Iyerlah, kan. Bas dia punya. Bila ada argument antara petugas haji, tukang sumbat beg, jemaah haji dan driver, driver lah yang menang.

Akhirnya aku berjaya naik bas dengan penuh drama dan sengsara. Keadaan aku dan isteri macam orang berebut tempat di sampan semasa kapal Titanic nak karam. Dengan petugas TH yang tak reti buat kerjanya, dengan driver Arab yang cakap kasar dan macam nak menumbuk semua orangnya, dengan budak hitam petugas bas yang asyik nak sumbat semua orang masuk dalam basnya, hadoi. Aku dan isteri kena berdiri dalam bas dengan bagasi orang rapat di kaki. Sabor ajelah.

Selamat tinggal, Muzdalifah

Dari Muzdalifah, kami dibawa dengan bas ke kawasan Mina. Di sepanjang perjalanan kami nampak orang ramai berjalan dalam kumpulan mereka di sepanjang jalan raya. Aku rasa mereka berjalan kaki dari Muzdalifah ke kawasan khemah mereka di Mina. Mereka berjalan siap dengan sepanduk dan bendera. Sungguh meriah. Macam perarakan kontinjen sukan masuk stadium sukan olimpik.

No comments:

Post a Comment