Sunday, November 1, 2015

Masyair Haji

'Masyair' ialah nama yang diberi pada siri-siri ibadah haji (rukun haji dan wajib haji) di luar kota Mekah iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang merupakan kemuncak pada ibadah haji keseluruhannya. Inilah hari-hari penting dalam urusan mengerjakan haji.

Tempoh masyair adalah dari 8 Zulhijjah (Hari Tarwiyah) hingga 13 Zulhijjah (Hari Tasyrik 3) dan melibatkan tiga kawasan di luar Mekah iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Jemaah haji akan bergerak dengan bas lebih kurang 22 km ke Arafah, 8 km ke Muzdalifah, 7 km ke Mina, dan 7 km lagi perjalanan balik ke Mekah. Secara keseluruhannya pergerakan kami untuk melengkapkan sesi masyair ini ialah sejauh 44 km.

Taklimat khas masyair haji

  • Taklimat khas persediaan masyair haji untuk Maktab 94 diadakan di surau KT66 pada 20 September.

  • Kami diberitahu bahawa acara utama masyair haji ialah wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar Jamrah Aqabah dan bercukur, melontar ketiga-tiga jamrah tiga hari berturut-turut, mabit di Mina.

  • Warna Maktab 94 ialah warna cokelat dan simbol pula ialah barangan elektrik. Simbol ini akan digantung di kawasan penempatan kami di Mina.

  • Kena bawa pakaian ihram untuk 2-3 hari dan pakaian biasa juga sebab selepas melontar Jamrah Aqabah nanti, bergunting rambut dan mencapai Tahallul Awal kami dah boleh pakai pakaian biasa.

  • Kami diminta bawa ubat-ubatan sendiri. Klinik Tabung Haji hanya ada di Mina.

  • Semua orang diberi nombor bas dan kena ingat nombor bas ini sampailah balik semula ke Mekah.

  • Tiada solat jumaat di Mina nanti sebab kami tidak bermukim. Juga tiada solat hari raya.

  • Dalam khemah nanti beg letak di bahagian kepala masing-masing. Kepala di bahagian dinding. Kaki mengadap bahagian tengah khemah.

  • Dijangkakan seramai 3200 jemaah haji akan menggunakan 10 tandas untuk lelaki dan 10 tandas untuk perempuan. Tidak dibenarkan (atau tidak digalakkan?) basuh baju. Kami juga diminta untuk gunakan tandas cepat-cepat.

  • Pek untuk buat teh diberikan di Arafah nanti. Air panas disediakan selama 24 jam di Arafah dan Mina. Air mineral akan diberi 2 botol waktu pagi, 3 botol waktu tengah hari dan 2 botol waktu malam.

  • Ada surau tapi kami digalakkan untuk solat di khemah sahaja.

  • Tabung Haji mengjangkakan yang keadaan paling tidak selesa adalah di Muzdalifah.

  • Untuk melontar kena berjalan kaki sejauh 7km pergi dan balik. Tidak boleh bawa bagasi semasa pergi melontar. Tidak boleh gunakan kerusi roda. Boleh wakilkan orang lain untuk pergi melontar sekiranya uzur.

  • Jemaah Haji Tamattuk kena mandi sunat ihram, solat sunat ihram, pakai ihram dan niat ihram haji di lobby sebelum naik bas. Rakan-rakan jemaah haji yang buat Haji Ifrad dan Haji Qiran tak perlu berniat ihram lagi dah sebab mereka awal-awal lagi telah pun berniat ihram dalam kapal terbang semasa kami melintasi Qarnul Manazil. Mereka juga telah pakai ihrams sejak mula-mula terbang dahulu.

Perjalanan masyair haji

  1. Bergerak ke Arafah dari Mekah pada Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) dalam pakaian ihram. Nabi Muhammad s'a.w dulu pun mula bergerak pada Hari Tarwiyah, tapi baginda pergi ke Mina terlebih dahulu untuk mengambil bekalan air dan selepas itu baru ke Arafah.

  2. Kami stay overnight satu malam dalam khemah di Arafah.

  3. Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zohor) hingga sebelum Subuh keesokan harinya. Inilah detik-detik yang paling mulia, penting dan berharga kepada seluruh jemaah haji.

  4. Lewat petang 9 Zulhijjah kami tinggalkan Arafah dan dibawa dengan bas ke Muzdalifah. Kami bermabit di Muzdalifah dan kutip batu untuk melontar. Petugas Tabung Haji kata stay at least sehingga 11.40 malam untuk mendapatkan tempoh bermabit tu. Tiada khemah di Muzdalifah. Jemaah haji akan duduk atau baring (atau tidur) di atas tikar pelastik yang dibekalkan oleh Tabung Haji. Tiada bantal dan tiada selimut.

  5. Setelah melepasi waktu midnight, kami dibawa dengan bas menuju ke perkampungan Mina. Akhirnya, khemah yang ada aircond. Dah masuk 10 Zulhijjah. Tapi belum masuk waktu Subuh. Kami tidur dulu.

  6. Kami dibawa masuk terowong menuju kompleks jamrah. Melontar Jamrah Aqabah (al-Kubra) sahaja iaitu tiang yang paling besar untuk melunaskan wajib haji.

  7. Masuk terowong kedua yang membawa kami balik ke perkampungan Mina dan bergunting rambut dan mencapai tahallul awal. Lepas tu dah boleh tanggalkan ihram dan pakai baju biasa. Jemaah haji sudah bebas dari 10 larangan ihram. Tinggal 3 sahaja lagi yang masih menjadi larangan iaitu yang berkaitan dengan hubungan suami-isteri dan nikah kahwin. Jemaah haji sudah boleh meninggalkan pakaian ihram dan memakai pakaian biasa.

  8. Kami bermabit di Mina pada hari-hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

  9. Selama tiga hari berturut-turut iaitu pada hari Tasyrik 1, Tasyrik 2 dan Tasyrik 3, jemaah haji akan pergi melontar ketiga-tiga jamrah (Sughra, Wusta, Kubra).

  10. Aturcara yang disusun oleh Tabung Haji ialah kami buat Nafar Thani iaitu melengkapkan mabit di Mina pada ketiga-tiga Hari Tasyrik dan melontar ketiga-tiga jamrah dalam tiga hari.

  11. Setelah selesai semuanya, pada 13 Zulhijjah, kami tinggalkan Mina dan dibawa balik ke Mekah.

No comments:

Post a Comment