Kami buat Haji Tamattuk jadi kena bayar dam, sama seperti jemaah yang buat Haji Qiran. Hanya yang buat Haji Ifrad sahaja bebas dari kena bayar dam haji. Jemaah haji yang buat Haji Tamattuk dan Haji Qiran dikenakan Dam Tertib dan Taqdir.
Kami suami-isteri bayar dam jenis Tertib dan Taqdir ni di kaunter Tabung Haji yang dibuka di lobi Maktab 94. Kami tak bayar tunai pun, sebaliknya Tabung Haji ambil duit tu terus dari akaun Tabung Haji kami. Bayarannya ialah SR (Saudi Riyal) 445 seorang. Nilai SR445 itu ialah nilai menyembelih seekor kambing mengikut harga pasaran pada masa itu. Pihak Tabung Haji akan menguruskan dengan pihak ketiga untuk kerja-kerja penyembelihan kambing tersebut. Jadi kami tak payahlah pergi sendiri ke pasar-pasar kambing untuk beli kambing dan kemudian mencari tukang sembelih.
Dalam slip pembayaran Tabung Haji ada tertera ayat 'Saya meletakkan tanggungjawab kepada Tabung Haji untuk menyempurnakan urusan ibadah dam bagi diri saya dan pemohon-pemohon di bawah, kerana Allah Ta'ala.' Itu kira macam 'aqad' antara kami dengan Tabung Haji.
Bila perlu bayar?
Kami diberitahu melalui kursus-kursus haji, Dam Tamattuk boleh boleh dilunaskan selepas selesai bertahalul umrah, namun yang afdalnya ialah pada Hari Raya Haji. Kami bayar dam tersebut sehari selepas kami selesai umrah dan mencapai tahalul.
Apakah dam?
Dari segi istilah, 'dam' bermakna darah. Dari segi syarak pula, dam ialah 'ibadah ganti yang merupakan binatang al-An'am (berkaki empat seperti unta, kambing, kibasy) yang disembelih atau gantinya daripada makanan atau puasa yang dikenakan ke atas mereka yang menunaikan haji dan umrah di atas sebab-sebab tertentu.'
Maksud 'sebab-sebab tertetu' dalam definisi di atas itu ialah 'perlanggaran peraturan-peraturan tertentu dalam ibadat haji'. Maksudnya bila dah langgar peraturan yang telah ditetapkan, kena bayar 'denda' atau 'compound'.
Aturan bayar dam ialah:
- Menyembelih seekor kambing atau kibasy atau 1/7 bahagian lembu atau unta yang mencukupi syarat untuk dibuat korban
- hendaklah berpuasa selama 10 hari (3 hari semasa masih dalam ihram haji iaitu sebelum wukuf, dan 7 hari semasa balik ke Malaysia) jika tidak mampu juga..
- bersedekah sebanyak 10 cupak makanan asasi atau jika masih tidak mampu..
- tertanggunglah di atas zimmahnya
Dam ada empat jenis iaitu:
- Dam Tertib dan Taqdir
- Dam Takyir dan Taqdir
- Dam Tertib dan Ta'dil
- Dam Takhyir dan Ta'dil
No comments:
Post a Comment